Pelakon dan penyanyi Razzuan Rosli memberitahu dia mahu mengukuhkan namanya dalam industri seni sempena tahun 2024 ini.
Artikel Berkaitan: ‘Sampai Hati Gelak, Puberty Hit Me Hard’ – Alif Satar Bikin Netizen Terhibur Gambar Sebelum ‘Renovation’ Tular
Artikel Berkaitan: Tak Kisah Orang Lama Atau Baru, Hael Husaini Terbuka Jalin Kerjasama Dengan Rakan Artis & Komposer
Ruang seni sangat luas
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Razzuan atau lebih mesra disapa sebagai Razz berkata, matlamat hidupnya untuk tahun ini sama seperti kebanyakan individu yang lain iaitu memperbaiki diri ke arah kebaikan dari segi agama, personaliti, cara bergaul dan berkomunikasi dengan orang.
Saya berharap ia menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Dari segi kerjaya pula, saya harap dapat kukuhkan nama Razzuan Rosli dalam industri seni. Harap peminat dapat menerima segala kerja yang saya buat ini dengan baik.
Disoal mengenai perkembangan terkini, Razz memberitahu dia baru sahaja melancarkan sebuah single terbaru iaitu ‘Cinta Kayangan’, semalam.
Saya harap pendengar dan peminat dapat menerima dengan baik lagu terbaru saya ini. Saya berharap kalian memberi sokongan yang mantap. Perjalanan untuk saya jadi penyanyi bukan perjalanan yang mudah. Banyak cabaran dan liku-liku yang perlu saya tempuhi.
Saya sedar bahawa saya bukanlah penyanyi yang baik. Bukan penyanyi yang ‘on pitch‘ setiap masa’. Saya berlatih dan berusaha keras setiap hari untuk perbaiki cara nyanyian. Oleh sebab itu, saya harap peminat dan pendengar nampak usaha dan kerja keras saya dalam memperbaiki cara nyanyian dan teknik vokal untuk menghiburkan semua orang di luar sana.
Berbicara lebih lanjut, Razz berkata, dia pernah menjadi pengacara beberapa program selain menerima tawaran berlakon dan menjadi penyanyi.
Mungkin ramai yang tak tahu, selain berlakon dan menyanyi, saya pernah buat hosting untuk beberapa program. Awal tu saya rasa boleh ke aku jadi host. Tapi, selepas dah buat, baru saya tahu boleh. Jadi host ni pekerjaan yang mencabar.
Di samping itu, saya sedang berjinak-jinak nak tulis lirik dan jadi komposer. Insya-Allah, lagu seterusnya yang akan keluar nanti merupakan lagu yang ditulis dan dibuat oleh saya sendiri.
Pada saya ruang seni sangat luas untuk kita terokai apa sahaja peluang yang datang dan apa sahaja peluang yang ada di depan mata. Selagi kita semua ada kudrat dan tenaga, tak salah untuk kita ambil peluang dan cuba. Bagi saya hidup hanya sekali dan peluang yang datang pun hanya sekali. Kalau terlepas mungkin tak ada dah buat selamanya.
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat bertanya mengenai projek drama mahupun filem yang sedang dilakukan oleh Razz pada tahun ini. Ujar pelakon drama ‘Bukan Sekadar Lafaz‘ ini, dia sedang menjalani penggambaran beberapa buah drama dan super siri.
Razz tengah menjalani penggambaran drama dan beberapa super siri. Razz juga ada filem. Ini merupakan filem pertama Razz. Namun, Razz tidak dapat berkongsi segala butiran secara detail mengenai filem tersebut. Saya minta semua orang mendoakan kejayaan saya dan doa itu juga saya mohon berbalik kepada kalian-kalian semua.
Saya rasa sangat bersyukur. Perjalanan saya ini sangat sukar dan memerlukan banyak pengorbanan. Saya harap boleh pergi jauh sebab dalam hidup ini kalau kita duduk dalam satu titik yang lama, kita tidak akan berkembang. Sebab kita tak mencabar diri kita. Saya harap jadi anak seni yang baik.