Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai meluahkan rasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan idolanya yang merupakan penyanyi hebat, Datuk Awie menerusi lagu runut bunyi filem ‘Rebel: Berontak Untuk Berotak’ yang berjudul ‘Cerita Rindu’.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Dah Biasa Tengok Budak-Budak Sekarang Menyanyi Macam Tu’ – Ajai Beri Nasihat, Label Perlu Jaga Kuantiti & Kualiti
Kerjasama pertama
Lebih manis dan bermakna ialah penghasilan runut bunyi tersebut merupakan kerjasama pertama Ajai bersama vokalis kumpulan Wings itu.
Menurut pemilik nama Mohd Faizal Maas ini, dia berasa begitu teruja apabila mendapat kepercayaan Awie untuk menghasilkan lagu tersebut.
Saya dibesarkan dengan lagu dendangan Awie sejak zaman bersama Kumpulan Exists lagi.
Saya pernah bertemu dengan Awie ketika masih di bangku sekolah dan menyimpan impian agar kami dapat bekerjasama suatu masa nanti.
Bercerita mengenai ‘Cerita Rindu’ itu, komposer berusia 50 tahun memaklumkan lagu itu mempunyai kelainan daripada karya yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Sebagai mana yang kita tahu, lagu Awie cukup sinonim dengan sentuhan Datuk M Nasir dan JS Kevin sejak dulu.
Kali ini, ia berlainan sikit dengan sentuhan daripada saya dari segi ‘phrasing’ pernafasan, tapi masih lagi meletakkan citarasa Awie.
Ketika ditanya mengenai lontaran suara Awie, Ajai memaklumkan penyanyi berusia 55 tahun itu mempunyai vokal yang masih lagi kuat dan mantap.
Setiap penerbit ada cara berbeza untuk menerbitkan lagu setiap artis kerana setiap lagu mempunyai pernafasannya tersendiri.
Apa yang penting, lagu ini tidak ‘stereotype’ dan sama seperti yang pernah dihasilkan penerbit lain sebelum ini.
Senang bekerjasama dengan Awie
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Keliru’ ini juga memaklumkan dia begitu selesa bekerjasama dengan Awie sepanjang proses rakaman dilakukan.
Menurutnya, proses rakaman lagu itu hanya mengambil tempoh dua hari untuk proses memasukkan vokal di studio.
Walaupun kami berbeza dari segi usia, tapi saya tidak berasa takut untuk beritahu perkara yang betul dengannya.
Awie juga menerima pandangan saya dengan minda terbuka dan turut memberi cadangan apa yang dimahukannya. Kami bekerja sebagai satu pasukan,
Selebihnya adalah kerja saya untuk proses ‘mixing’ dan sebagainya selama lima hari.
Awie juga berpuas hati dengan hasilnya kerana sudah beri apa yang saya mahukan dan ini hasil terbaik daripadanya.
Sekadar info, filem ‘Rebel: Berontak Untuk Berotak’ merupakan arahan Awie sendiri dan kos pembikinannya hampir mencecah hampir RM1 juta.
Filem ini turut dibintangi Awie sendiri serta barisan pelakon hebat lain seperti Ben Amir, MK K-Clique, Shiqin Kamal, Noralbaniah, dan Azlan Komeng.
Filem ‘Rebel: Berontak Untuk Berotak’ ini bakal menemui penonton pada hari ini di pawagam seluruh Malaysia.