Dalam dunia yang penuh dengan kreativiti, cabaran dan peluang seringkali datang bergandingan. Justeru itu, pereka fesyen terkenal tanah air Fiziwoo mengakui bahawa mereka memahami realiti tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Buta Warna Bukan Kekurangan, Tetapi Kelebihan Buat Saya’ – Fiziwoo
Artikel Berkaitan: Tampil Elegan & Menawan Di KLFW 2024, Ummi Nazeera Bakal Jadi Wajah Fiziwoo?
Artikel Berkaitan: ‘Situasi Yang Berlaku Adalah Di Luar Kawalan Saya’ – Fiziwoo Hormat Pendapat Netizen
Artikel Berkaitan: #OBFesyen: Fiziwoo Pilih Ruhainies Sebagai Muse Riviera Raya, Tampil Dengan Koleksi Warna Pastel
Guna saluran yang betul
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Fiziwoo berkata, dunia industri kreatif terutamanya dalam bidang fesyen, adalah salah satu yang memerlukan bukan hanya kreativiti yang tinggi tetapi juga strategi perniagaan yang pintar untuk terus kekal bertahan.
Di media sosial, kami sering melihat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan industri kami. Kadang-kadang, kami rasa kasihan dan terkesan dengan situasi yang berlaku, terutama apabila kami tahu bahawa ramai daripada mereka sedang berjuang untuk mendapatkan pinjaman serta bantuan daripada pihak tertentu.
Ini mengingatkan kami dan semua orang juga tentang pentingnya menggunakan saluran yang betul untuk membuat pinjaman wang, mencari bantuan dan peranan pihak kerajaan dalam menyediakan bantuan kecemasan.
Tambah Fiziwoo, industri kreatif di Malaysia bukanlah sektor utama, namun ia memainkan peranan penting dalam mencerminkan budaya dan identiti kita.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memberi lebih banyak ruang dan bantuan kepada industri kreatif untuk berkembang. Penerimaan pelanggan mungkin suatu benda yang subjektif, tetapi dengan sokongan yang betul, industri ini boleh terus berkembang dan memperkenalkan budaya kita kepada dunia.
Sebagai sebuah jenama fesyen yang telah beroperasi hampir 14 tahun, Fiziwoo memberitahu, mereka sentiasa berusaha untuk menyeimbangkan antara kreativiti dan strategi perniagaan.
Kami mengakui bahawa industri fesyen bukanlah tempat yang mudah untuk bertahan, tetapi dengan usaha, kreativiti, dan sedikit nasib, kami masih berada di sini hari ini.
Kami telah belajar bahawa untuk kekal relevan, kreativiti perlu disertakan dengan kemampuan untuk menjual dan bertransaksi.
Mencipta jenama adalah satu perkara yang mudah, tetapi mengekalkan jenama tersebut suatu perkara yang tidak mudah bahkan ia memerlukan komitmen dan kepakaran yang mendalam.
Fiziwoo yang ditemui ketika acara Mid-Autumn Festival yang diadakan di Maison Fiziwoo, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur pada malam, Rabu, turut berkongsi sedikit rahsia bagaimana mereka mampu berada di tahap ini.
Kami di Fiziwoo fokus pada memahami kehendak pelanggan dan mengadaptasi perniagaan kami mengikut keperluan mereka. Kreativiti sahaja tidak mencukupi kerana ia perlu disertai dengan strategi perniagaan yang kukuh untuk memastikan kejayaan jangka panjang.
Di akhir temu bual, Fiziwoo memberi sedikit pesanan buat pereka fesyen yang baru menapak dalam industri kreatif ini.
Kepada mereka yang baru memulakan perjalanan dalam industri ini, kami memahami bahawa ia mungkin sukar. Namun, jangan putus asa. Teruskan berusaha dan sentiasa berfikir secara kreatif untuk mengekalkan jenama anda. Kami di Fiziwoo percaya bahawa dengan dedikasi dan usaha yang konsisten, kejayaan pasti boleh dicapai.
Terdahulu, viral di media sosial mengenai kisah seorang pereka fesyen popular tempatan yang menjadi mangsa peras ugut sekumpulan Ah Long kerana dipercayai berhutang sebanyak RM25,000.
Pereka fesyen berusia 30-an itu turut mendedahkan dia berdepan trauma ketakutan kerana diekori, diugut selain diganggu oleh Ah Long setiap hari.
Pada masa yang sama, dia berasa bimbang sekiranya berdepan kadar bunga yang makin bertambah disebabkan tidak mampu menyelesaikannya dalam tempoh singkat.