Memilih untuk mempunyai ruang sendiri, pelakon jelita Che Puan Juliana Evans membawa karavan bersama ketika di set penggambaran.
Artikel Berkaitan: Juliana Evans Kongsi Wajah Anak Kedua
Artikel Berkaitan: Epidural Tidak Berkesan, Juliana Evans Trauma Untuk Melahirkan Anak Kedua
Ruang sendiri
Ketika ditemui OhBulan!, Juliana atau nama lengkapnya Juliana Sophie Johari Evans berkata, dia membawa kenderaan tersebut untuk keselesaannya semasa menjayakan penggambaran.
Saya sudah berumur 35 tahun, dalam usia begini kita perlu tahu faham apa yang badan kita mahukan. Paling penting jaga diri sendiri.
Saya tak perlukan layanan istimewa daripada kru, tetapi mereka tetap berikan saya layanan dengan sangat baik. Saya amat hargainya.
Namun karavan ini adalah untuk tempat rehat saya sendiri, lebih privasi, yang lebih penting saya tenang untuk menghafal skrip sebelum masuk ke set itu sahaja.
Dalam masa yang sama, Juliana juga ingin menjaga kesihatan mentalnya selain mahu memberikan fokus ketika melakonkan sesuatu watak.
Saya sebelum ini pernah mengalami panic attack dan trauma. Jadi ia adalah baik untuk saya selain sesuai dengan keadaan dan usia saya sekarang.
Juliana berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem di Kuang, Selangor pada Rabu.
Naskah seram
Dalam perkembangan lain, ibu kepada dua orang anak itu sedang menjalankan penggambaran filem bergenre seram terbaharunya iaitu Bisikan Dosa.
Watak saya adalah sebagai seorang doktor tetapi di dalam keluarga ini ada roh yang tidak tenteram.
Saya baru aktif kembali selepas hamil dan melahirkan, kira-kira dua tahun lebih juga.
Sejak bergelar ibu, saya lebih memilih watak kerana memegang prinsip sendiri selain bersedia dari segi mental dan fizikal.
Selain Juliana, filem tersebut turut membarisan pelakon terkenal seperti Farid Kamil, Sara Ali, Uqasha Senrose dan Sherry Merlis.
Sekadar info, Juliana dan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah berkahwin pada April 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 5 dan Tengku Saidatul Ihsan Putri, setahun.