Tragis, kejam dan menggemparkan. Itu cukup untuk menggambarkan kes-kes jenayah dan isu semasa yang berlaku pada tahun 2024.
Pastinya setiap insiden yang terjadi memberi kesan mendalam terhadap pelbagai pihak, seterusnya turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Artikel Berkaitan: #OBWrapped24: Liam Payne Jatuh Tingkat Tiga Hotel, Jefri Nichol Tiduri 20 Wanita & Perkahwinan Rizky & Mahalini Tidak Sah
Artikel Berkaitan: #OBWrapped24: 11 Kes Mahkamah Yang Mencuri Tumpuan! PU Azman, Vivy Yusof & Along Cham Antara Nama ‘Panas’
Berikut kami senaraikan beberapa kes pembunuhan, isu dan tragedi yang mendapat perhatian ramai sepanjang tahun ini.
Helikopter TLDM Terhempas
Dua helikopter dilaporkan terhempas selepas bertembung ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut pada 23 April lalu.
Kejadian nahas itu berlaku ketika kedua-dua helikopter itu sedang menjalani latihan raptai sempena Hari Terbuka Armada yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei.
Seramai 10 mangsa yang terlibat dilaporkan meninggal dunia. Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi sebelum bertembung di udara.
Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.
Artikel Berkaitan: [KEMAS KINI] Dua Helikopter Bertembung & Terhempas Di TLDM Lumut, 10 Mangsa Meninggal Dunia
Faisal Halim
Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dilaporkan mengalami lecur tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali sewaktu membawa anak dan isterinya ke sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Selepas kira-kira sebulan dari kejadian tersebut, Faisal membuat kemunculan pertamanya di sidang media pada 13 Jun 2024.
Faisal yang mesra disapa Mickey turut menerima kunjungan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di kediamannya selepas kejadian itu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Sanggup Hilang Gaji Berpuluh Ribu, Janji Keluarga Selamat & Tak Perlu Hidup Dalam Ketakutan’ – Faisal Halim
Farah Kartini
Misteri kehilangan seorang wanita iaitu Nur Farah Kartini terungkai apabila mayatnya ditemui selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.
Mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Sebelum ini, polis menerima laporan tentang kehilangan mangsa pada jam 1.56 pagi selepas mangsa menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Susulan itu, polis menahan seorang suspek yang juga penjawat awam berusia 26 tahun dan telah reman di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu. Kes tersebut disiasat mengikut 302 Kanun Keseksaan.
Menurut pihak polis, suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Lambaian Terakhir Nur Farah Kartini Jadi Kenangan – ‘Kepulangan Yang Kami Nantikan Tapi Allah Lebih Sayang’
Nidza Afham
Industri hiburan tempatan turut dikejutkan dengan berita kehilangan penyanyi Nidza Afham dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti riadah di Stadium Sultan Sulaiman pada 13 Ogos lalu.
Berita tersebut dikongsikan oleh adiknya yang juga penyanyi Aufahanie menerusi laman Instagram.
Pihak polis kemudian menemui mayat seorang lelaki di sekitar Jambatan Sungai Klang dan mengesahkan mayat tersebut ialah Nidza Afham. Kes kematian arwah diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau ‘sudden death report’ (SDR).
Sementara itu, Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan, berkata, hasil bedah siasat menunjukkan tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa.
Artikel Berkaitan: ‘I Love You Am, Berbahagialah Di Syurga Firdausi’ – Aufahanie Imbas Kenangan Bersama Arwah Abang
Istiqomah Ahmad Rozi
Berita kehilangan seorang guru bernama Istiqomah Ahmad Rozi sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember tahun lalu adalah milik mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ashari Abu Samah, perkara itu disahkan selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos lalu adalah sepadan.
Difahamkan, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.
Tular di media sosial sebulum ini mengenai kehilangan seorang guru sekolah yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja. Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai pada 27 Disember tahun lalu.
Media kemudian melaporkan tentang penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan berbogel dengan hanya beralaskan kain merah selain kepala, kedua belah kaki hingga ke paras lutut dan tangan dipercayai telah dipotong.
Artikel Berkaitan: 8 Bulan Hilang..Mayat Tanpa Kepala, Kaki & Tangan Dipotong, Dibuang Dalam Tong Sampah Rupanya Milik Cikgu Istiqomah
Nuraina Humaira Rosli
Seorang kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan mati di kawasan berpaya perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput disyaki dirogol sebelum dibunuh pada 17 Ogos.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa, Nuraina Humaira Rosli, 10. Keputusan turut menunjukkan terdapat kecederaan pada leher mangsa akibat tekanan.
Susulan daripada itu, kes telah diklasifikasikan semula sebagai bunuh dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel Berkaitan: Nuraina Humaira Ditemui Mati Di Kawasan Berpaya Disyaki Dirogol Sebelum Dibunuh
Tanah Jerlus Masjid India
Kejadian tanah jerlus membabitkan seorang individu warga India di Masjid India, sekitar Ogos lalu antara insiden yang tidak dapat dilupakan.
Tragedi tanah jerlus itu telah menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Selepas sembilan hari, pihak berkuasa menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu tanpa sebarang penemuan.
Artikel Berkaitan: Lelaki India Terselamat Dari ‘Ditelan’ Tanah Jerlus Peluk Islam – ‘Dia Yakin Allah SWT Ada..’
Abang Bas
Kecoh di media sosial mengenai tindakan seorang pemandu bas sekolah yang merakam video penumpangnya iaitu pelajar sekolah dan memuat naik kandungan tersebut di akaun TikTok miliknya.
Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan selebriti tempatan.
Media kemudian melaporkan, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Simpang Renggam, Johor pada 6 September lalu .
Tidak lama kemudian, pemandu itu telah didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga ‘Abang Bas’ berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Datuk Seri Vida Menangis Lihat ‘Abang Bas’ Peluk Ibu – ‘Kuat Hati Saya Mengatakan Dia Sayang Budak-Budak’
Kemalangan di UiTM Dungun
Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dungun disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).
Kejadian tersebut berlaku ketika keempat-empat pelajar tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke kampus dengan menaiki dua buah motosikal.
Ketika dalam perjalanan, mereka kemudiannya dirempuh oleh sebuah SUV jenis Honda CRV yang dipandu oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20 manakala seorang lagi rakan mereka yang cedera parah dikenali sebagai Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kak KM Sukar Berjauhan Dengan Anak Lelaki, Akui Terkesan Kes Kematian Pelajar UiTM Dungun – ‘Saya Rasa Kehilangan.. Luluh Hati’
Jenazah Bayi Dibeku 2 Minggu
Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai berkongsi kisah sedih iaitu satu jenazah bayi yang didakwa telah dibekukan dan ditahan selama 16 hari di sebuah hospital swasta kerana bapanya tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menguruskan jenazah tersebut.
Perkongsian tersebut telah menyorot perhatian wargamaya yang simpati dengan nasib menimpa bayi itu serta telah mengecam pihak hospital.
Pihak Hospital Bersalin Razif (HBR) kemudian menerusi kenyataan media menjelaskan kejadian sebenar berhubung isu menahan dan membekukan bayi di hospital selama 16 hari.
Tidak berdiam diri, Mr Wan Cai mendakwa pihak HBR telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung isu menahan dan membekukan jenazah bayi di hospital terbabit.
Bapa kepada bayi tersebut iaitu Muhammad Adham Mikail turut tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.
Artikel Berkaitan: Jenazah Bayi Dibeku Selama Dua Minggu, Doktor Didakwa Hina Bapa Kerana Tak Mampu Lunas Bil RM3,600