Penyanyi Mamat Exist mengakui dia melalui banyak pengalaman dan perkara baharu selepas enam bulan melalui fasa pertama di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.
Artikel Berkaitan: Timbul Dakwaan Ambil ‘Barang’ Sampai Kurus & Cengkung, Ini Respon Mamat Exist
Artikel Berkaitan: Exists Tak Pernah Serik Dengan Mamat – ‘Bila Dengar Dia Sudah Lepas Daripada Benda Itu, Kami Pun Rasa Gembira’
Semakin sihat dan berisi
Memetik laporan Harian Metro, Mamat kelihatan sihat, berisi dan wajahnya nampak berseri. Menurut Mamat, semuanya berjalan dengan baik.
Sekejap saja dah enam bulan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan pemulihan ini sepatutnya saya lakukan suatu masa dulu. Sekarang baru saya lakukan, saya rasa dah mula buatkan diri lebih rasa tenang.
Sebenarnya dalam tempoh enam bulan ini memang banyak perubahan dilalui. Dalam erti kata zaman sukses dahulu dan sekarang perbezaannya kita dapat rasa. Ada program yang disusun dan kita ikut setiap hari. Kita juga tak boleh tinggalkan solat dan yang lain-lainnya.
Berbicara lebih lanjut, Mamat berkata, dia dapat merasakan impak tersebut datang daripada banyak pihak di sana.
Kita ada keluarga di mana kita tahu karakter dan pemikiran masing-masing. Kiranya saya antara yang paling berusia di sana dan ini buat saya lebih beringat untuk muncul kembali. Aktiviti kami bermula seawal jam 5 pagi.
Selepas itu kami buat kerja, ada mesyuarat untuk jabatan kerana ada pelbagai jabatan. Di situ ada hirarki dan setiap program yang diadakan setiap hari ada mesyuarat pagi dan ada taklimat pagi.
Manakala pada hujung minggu ada Friday Night Activity, Big Screen dan lain-lain. Jadi memang padat kerana setiap hari ada aktiviti.
Bukan ikut kerana terpaksa
Di samping itu, bapa kepada tiga anak ini turut memaklumkan, dia sudah melalui pelbagai fasa di Pengasih dan dapat merasai perbezaannya berbanding dulu.
Saya tahu macam mana keadaan saya dulu. Masa masuk saya tiada rasa memberontak. Saya bersyukur tiada perasaan itu. Saya ikut macam mana yang disusun. Maknanya setiap fasa saya ikut. Ia bukan ikut kerana terpaksa. Saya memang mengikut fasa yang sepatutnya saya kena ikut. Setiap fasa yang ada. Saya rasa selamat itu salah satu faktor.
Memang kita rasa tak bebas tapi sebenarnya kita boleh keluar. Ada program luar. Kadang-kadang ada main futsal. Ada macam-macam aktiviti. Kita bukan keluar bergari. Cuma dalam itu kita boleh terima atau tidak keadaan untuk pemulihan. Saya dah rasa tempoh enam bulan fasa pertama dan selepas itu berikutnya. Maknanya tengok pencapaian kita.
Saya kini boleh keluar mengadakan persembahan di seluruh negara. Sekarang tiada halangan untuk bertemu peminat. Saya dapat kebenaran dari Pengasih.
Terdahulu, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019. Di Mahkamah Sesyen, Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat menjalani dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.
Sumber: Harian Metro