Pelakon veteran, Jalil Hamid terpaksa melepaskan peluang untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini berikutan dengan masalah jantung yang dihidapinya.
Artikel Berkaitan: ‘Sumbangan Daripada Anwar Agak Istimewa’ – Jalil Hamid
Artikel Berkaitan: Jalil Hamid Susut 30 Kg, Hilang Selera Makan Kerana Masalah Jantung
‘Saya kecewa, dah lama tunggu’
Ketika ditemui OhBulan! Jalil Hamid atau nama lengkapnya Abdul Jalil Abdul Hamid, 68, meluahkan rasa terkilan dengan keputusan tersebut memandangkan dia sudah lama menyimpan niat untuk menunaikan ibadah haji iaitu sejak dari tahun 2008 lagi.
Cuma saya rasa kecewa sikit sebab harapan saya untuk pergi haji tahun ni terpaksa dilupakan.
Panggilan untuk pergi haji tu dah dapat tapi sebab ada masalah jantung dan belum pulih sepenuhnya, jadi saya terpaksa mengalah.
Namun akui terpaksa reda kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Bagaimanapun dia berharap agar diberi peluang membuat rayuan sekiranya kesihatannya kembali pulih kelak.
Syarat-syarat yang ditetapkan Tabung Haji tidak sesuai dengan keadaan jantung saya. Sebab peratusan kesihatan jantung sekurang-kurangnya perlu melepasi 35 peratus, tapi jantung saya hanya capai tahap 24 peratus.
Itu yang saya kecewa sebab saya sudah tunggu lama sejak 2008 lagi. Memang saya nak pergi sangat.
Jalil berkata demikian ketika ditemui pada malam Anugerah Carta 114 yang berlangsung di Putrajaya, pada Sabtu.
‘Saya izinkan isteri mengerjakan haji’
Tambah pelakon filem Pendekar Lebar Kuping, dia menyimpan harapan yang sangat tinggi untuk menunaikan ibadah haji memandangkan ini kali pertama dia menerima panggilan tersebut. Namun terpaksa akur dengan syarat yang telah ditetapkan pihak Tabung Haji.
Tabung Haji menawarkan tawaran untuk saya dan isteri. Saya izinkan isteri mengerjakan haji sebab ini adalah jemputan Allah untuknya.
Saya tak berupaya, biarlah dia yang pergi. Kalau tolak, rugi buatnya sebab tiada sebab untuknya tidak pergi.
Berkongsi keadaan kesihatannya, penyandang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-11 ini berkata dia beransur pulih dan masih berupaya untuk berlakon.
Kalau nak ikutkan, saya rasa diri saya semakin sihat. Saya dah boleh buat kerja tapi bila buat pemeriksaan kesihatan secara terperinci, jantung masih belum pulih sepenuhnya.
Ada juga tawaran berlakon lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri hampir tiba. Alhamdulillah saya masih larat untuk berlakon, lagipun itu bidang kerja saya Kalau tak kerja, mana nak dapat duit.