Nama pelakon dan penyanyi dari Korea Selatan, Taecyeon menjadi perhatian netizen di media sosial susulan didakwa bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Taecyeon nak kahwin?
Spekulasi itu mula timbul susulan tularnya foto memaparkan anggota kumpulan 2PM itu sedang melamar kekasihnya di Paris, Perancis.
Malah timbul juga dakwaan bahawa pasangan merpati dua sejoli itu sudah mengikat tali pertunangan dan bakal mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, pihak agensi Taecyeon iaitu 51K menerusi sebuah kenyataan rasmi menafikan khabar angin tersebut.
Dia cuma mengambil foto sempena hari lahir teman wanitanya. Kami juga kesal dan agak terkejut gambar itu tersebar memandangkan dia bukan selebriti (teman wanita).
Taecyeon juga dikatakan masih tiada perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Dia dan teman wanitanya bercinta seperti biasa dan walaupun mereka mungkin akan berkahwin apabila tiba masanya tetapi mereka tidak mempunyai rancangan untuk segera berkahwin.
Untuk rekod, Taecyeon mengesahkan dia menjalinkan cinta dengan kekasihnya pada 2020 lalu.
Sumber: Allkpop