Industri hiburan K-pop baru-baru ini dikejutkan dengan kematian seorang lagi idol terkenal negara itu iaitu Goo Hara. Bekas ahli kumpulan Kara itu telah disahkan meninggal dunia di rumahnya di Cheongdam, Gangnam pada 24 November lalu, hanya beberapa minggu selepas kematian rakan baiknya, Sulli.
Sehari sebelum kejadian menyedihkan itu berlaku, Hara dilihat sempat berkongsi gambarnya berbaring di atas katil dengan kapsyen ‘selamat malam’. Posting itu membuatkan rata-rata peminatnya menganggap ia sebagai mesej terakhir bahawa dia akan ‘berehat’ buat selama-lamanya.
Tolong bertahan
Terbaru menerusi laporan allkpop, pada 27 November, abang kepada penyanyi berusia 28 tahun itu telah mendedahkan salah satu perbualan terakhirnya bersama Hara.
Menerusi perbualan tersebut, abang kepada penyanyi itu dilihat seperti sedang merayu kepada adiknya untuk terus bertahan dan kuat dalam kehidupannya.
Abang: Abang merayu dengan kamu. Jangan fikirkan sebarang perkara yang buruk dan jangan tercedera. Terus kekal sihat dan seiring masa yang berlalu, kamu berkahwinlah, dapatkan anak dan nikmati kehidupan kamu dengan baik. Bila rasa sedih, kamu nangislah sepuasnya dan lepaskan semuanya. Abang sayang kamu, dik.
Saya sayang abang
Hara: Saya sayang abang! Jangan risau!
Abang: Saya tahu kamu mesti sedih, hati abang pun sedih juga. Makan makanan yang sedap di Jepun, ya.
Perbualan terakhir antara mereka berdua itu telah menyentuh hati ramai netizen. Mereka percaya perbualan itu berlaku tidak lama selepas kematian ahli kumpulan f(x) yang juga rakan baik Hara, Sulli.
Sumber: allkpop