berita

‘Ada Tinggalkan Buah Di Bawah Katil, Pulut Kuning, Telur Rebus…’ – Petugas Hospital Bongkar Misteri Amalan Khurafat

June 9th, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Amalan khurafat seperti mengamalkan tangkal, wafak, susuk dan pengeras telah lama wujud sejak dahulu lagi. Malah, sehingga ke hari ini ada keluarga yang masih mempercayai keberkesanan amalan tersebut terhadap kesihatan diri.

Seorang petugas hospital di salah sebuah hospital kerajaan telah membongkar misteri pesakitnya yang masih mengamalkan amalan khurafat demikian. Bagaimanapun, dia telah menegur keluarga pesakit namun tidak diendahkan. Mungkin anda juga tidak sedar akan kewujudan benda khurafat ini di hospital yang pernah dikunjungi.

Selalu diletak bawah selimut pesakit

1-2 hari ni, ramai orang sebut-sebut pasal sup bunjut disalah erti sebagai barang sihir dalam drama Nur. Jadi aku nak jugalah cerita pengalaman aku jumpa ”sup bunjut’ yang bukan untuk masak sup.

Jangan terkejut jika aku beritahu di zaman ini, masih ramai yang guna barang-barang ini.

Sepanjang aku bekerja di hospital, sudah beberapa kali aku jumpa barang-barang dan perkara khurafat yang diamalkan oleh kita (Melayu Islam). Antaranya adalah tangkal, wafak, amalan, dan pengeras.

Salah satu barang yang aku sering jumpa adalah jenis bunjut. Ada warna merah, kuning dan putih. Aku tak tahu apa signifikannya warna-warna ini, dan apa fungsinya. Mungkin sihir yang memudaratkan pesakit, mungkin juga untuk memulihkan pesakit. Lazimnya ia diletakkan di bawah selimut atau bantal pesakit yang tak sedarkan diri.

Dipakai sebagai pendinding

Kalau saya jumpa, aku akan beritahu ahli keluarga dan suruh mereka buang. Nak buang sendiri, bimbang aku pula yang terkesan nanti. Kalau tak kena sihir, kena marah dengan ahli keluarga. Jadi, kita nasihat sahajalah ahli keluarga.

Kedua, jenis wafak. Wafak ni adalah ayat-ayat atau gambar rajah yang ditulis pada kertas atau batu dan dipakai dalam kalung, cincin, tali pinggang dan sebagainya. Ada juga yang ditulis di anggota badan. Kadang-kadang ditulis dalam tulisan jawi (bukan ayat Al-Quran) atau rajah geometri. Ia dipakai sebagai pendinding.

Betis ditulis dengan nama Allah

Pernah saya terlihat seorang pesakit strok yang di betisnya yang lumpuh tertulis dengan salah satu nama Allah, iaitu Al-Ghafur yang bermaksud “Yang Maha Pengampun”. Rasanya tak elok tulis nama Tuhan di anggota kaki.

Ketiga, jenis tangkal. Ia juga dipakai sebagai barang kemas, tali, cincin dan sebagainya, namun tak ada apa-apa tulisan. Khabarnya barang-barang ini dah dijampi dan boleh menjadikan seseorang itu kebal (hairannya, sakit dan sampai masuk hospital juga).

Keempat, jenis ritual (amalan). Yang ini jika perhati kelakuan mereka, pasti kau orang akan meremang. Ada yang menari atau buka bunga silat setiap malam sebelum tidur. Ada yang minum sesuatu yang mencurigakan. Ada perah limau pada anggota yang terjejas. Ada yang baca jampi atau menyanyi.

Kelima, jenis pengeras. Ini pun seriau bila ternampak. Ada tinggalkan buah-buahan di bawah katil. Pulut kuning. Telur rebus. Malah ada sediakan ayam panggang.

Susuk logam ditemui dalam Xray

Keenam, jenis susuk. Susuk lazimnya diperbuat daripada logam seperti emas atau berlian, maka ia boleh dilihat dalam imej X-ray. Selalunya dijumpai di X-ray muka, dada (payudara) dan anggota lain. Kebanyakannya dijumpai secara tak sengaja.

Amalan-amalan ini masih belum luput. Ia bukan sahaja diamalkan oleh generasi lama malah dilakukan juga oleh golongan muda. Ada yang mengatakan ia bukan kesalahan setelah ditegur oleh petugas kesihatan.

Jika dalam kesulitan, carilah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak. Carilah Tuhan dan mohonlah terus kepadanya. Jangan gunakan perantara yang diragui. Moga kita semua dilindungi daripada kepercyaaan khurafat.

Nota: gambar-gambar ini saya yang ambil sendiri.

Sumber: Kamarul Ariff Nor Sadan

SKIP THIS AD ×