berita

‘Ada Yang Berhijab Mula Dengan Minat Pada Tudung Jenama Saya’ – Fazura

January 28th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Umum tahu, pelakon Fazura sudah bertudung sepenuhnya sejak tahun lalu. Kelihatan manis dengan imej baharu, penampilan ibu kepada Nur Fatima Aisya ini sentiasa menjadi ikutan terutama dalam kalangan pengikut setia.

Artikel Berkaitan: Fazura Terharu Nampak Wanita Pakai Tudung Keluarannya, Peminat Puji Pandai Hargai Pembeli – ‘Hari Demi Hari Dia Beri Inspirasi Kepada Saya’

Ramai fashionista bertudung ‘support’

Fazura, 38, bersyukur kerana tudung jenama keluarannya mendapat sokongan menggalakkan daripada peminat. Dedahnya, ada dalam kalangan wanita yang baru mula berhijab terbuka hati disebabkan minat dengan tudungnya.

Alhamdulillah… saya bersyukur kerana menerima maklum balas positif daripada pembeli.

Malah, ada yang berhijab mula dengan minat pada tudung jenama keluaran saya. Syukur dengan perkongsian itu, kita saling menyokong satu sama lain ke arah kebaikan.

Bercakap tentang berhijab, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin menekankan keputusannya untuk berubah ke arah kebaikan bukan disebabkan bimbang dengan persepsi orang luar.

Kata isteri kepada aktor Fattah Amin, dia sentiasa berdoa kepada Allah agar urusannya dipermudahkan serta kekal istiqamah.

Saya tak boleh menipu pada diri sendiri. Saya bukan bertudung hanya kerana takut apa persepsi orang pada saya.

Sehingga kini, saya masih lagi berdoa agar mudah-mudahan apa yang dilakukan hanya kerana Allah SWT dan terus istiqamah dalam segala perkara.

Tak nak tinggal anak terlalu lama

Dalam pada itu, pelakon drama Hero Seorang Cinderella memilih untuk memberi tumpuan kepada dunia perniagaan buat masa sekarang.

Namun, itu bukan bermaksud dia ingin memperlahankan perjalanan karier seni tetapi katanya akan lebih selektif dalam memilih skrip dan tawaran.

Memang ada skrip dan tawaran untuk saya. Tapi saya perlu sesuaikan dengan jadual harian sebagai ibu kerana tidak mahu meninggalkan anak terlalu lama.

Hendak berlakon saya tidak ada masalah kalau skrip dan waktu penggambaran dapat diserasikan. Tapi buat masa sekarang saya gembira berlakon untuk kempen tudung saya sahaja.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan popular berkenaan dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.

Sumber: Instagram @missfazura

SKIP THIS AD ×