Baru-baru ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli meminta stafnya untuk mengadakan satu pertemuan dengan pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz susulan isu Anugerah Perdana Belia Negara 2023 (APBN) Peringkat Kebangsaan.
Artikel Berkaitan: Adam Adli Jawab Isu Zhiddin Aziz Tak Menang Anugerah Di Parlimen – ‘Saya Tertanya-Tanya Bagaimana Dia Boleh Anggap Dirinya Sebagai Pemenang?’
Artikel Berkaitan: Anak Aziz Desa Tak Puas Hati Kemenangan Ikon Belia Digugurkan, Adam Adli Ajak Jumpa Selesaikan Isu
Sudah bersua
Terbaharu, menerusi perkongsian di platform X, Adam memuat naik sekeping foto memperlihatkan beliau bersama Zhiddin. Dipercayai gambar itu diambil sewaktu sesi pertemuan antara mereka yang diadakan pada petang Rabu.
Pada perkongsian sama, Adam turut menulis satu rangkap pantun yang membawa maksud agar tiada perasaan marah yang disimpan dalam hati pempengaruh itu.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan simpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.
Dalam pada itu, Adam turut mendoakan anak kepada pengacara popular era 90-an, arwah Aziz Desa itu terus berjaya dan menjadi suri teladan kepada orang lain.
Didoakan agar saudara Zhiddin terus maju jaya dan menjadi ikutan yang baik.
Terima kasih atas masa yang diluang bersama kami. Jumpa lagi dalam ruang yang lain.
Terdahulu, Zhiddin menerusi perkongsian di TikTok meluahkan rasa kecewanya selepas mendakwa menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur APBN 2023 mengenai pembatalan kategori Ikon Belia.
Menurut Zhiddin dia turut berasa kesal apabila tiada sebarang penjelasan dibuat daripada pihak penganjur kepadanya.
Susulan itu, Adam memaklumkan bahawa pihaknya akan mengaturkan pertemuan bersama Zhiddin bagi merungkai serta menyelesaikan isu yang sedang dibangkitkan pempengaruh tersebut.
Sumber: X