berita

Addy Kana & Dua Anggota Polis Kemuka Rayuan Penahanan Salah

November 4th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan sindiket yang didalangi Addy Kana terlibat dalam kes penipuan Macau Scam, judi online dan penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing Forex.

Artikel berkaitan: Polis Sahkan Addy Kanna & Alvin Goh Tak Terlibat Macau Scam Tapi…

Terbaru, peguam Addy Kana dan dua anggota polis telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan ‘habeas corpus’ (penahanan salah) terhadap mereka mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Melanjutkan tempoh tahanan reman

Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Majistret membenarkan penahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut. Mereka yang berumur 34 hingga 39 tahun itu ditahan mengikut POCA selama 21 hari dan tarikh reman 21 hari itu sepatutnya berakhir semalam. Bagaimanapun pada 30 Oktober lalu, Majistret M Mageswary melanjutkan tempoh tahanan reman selama 38 hari sehingga 6 Disember ini.

Dalam permohonan habeas corpus yang dikemukakan, kesemua pemohon menyatakan bahawa penahanan mereka selama 21 hari sehingga 3 Oktober lalu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) adalah tidak sah, tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat mala fide (berniat jahat). Pemohon juga menyatakan bahawa perintah penangkapan dan penahanan adalah di luar ruang lingkup atau skop Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan tidak terpakai kepada mereka.

Memfailkan notis rayuan

Menerusi laporan Harian Metro, peguam yang mewakili Addy Kana dan Koperal Mohd Hairy Mohammad iaitu Jacky Loi memberitahu bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dua hari lalu. Manakala peguam kepada Koperal Muhammad Amin Nur Rashid Mohamed Puad iaitu Shahrizal Abdul Manan turut memfailkan rayuan yang sama semalam.

Tambah Loi, pihaknya juga akan memfailkan notis perakuan segera esok bagi Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan berkenaan secepat mungkin. Setakat ini, ketiga-tiga mereka kekal dalam tahanan reman selama 38 hari bermula 30 Oktober lalu sehingga 6 Disember ini selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan ‘habeas corpus’ yang dibuat mereka.

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×