Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui tidak mengambil gaji Yang di-Pertuan Agong sepanjang lima tahun memerintah negara.
Pengalaman agak manis
Memetik laporan Harian Metro, Baginda juga mendedahkan detik awal memikul tanggungjawab sebagai ketua negara yang bukan saja dalam keadaan sukar akibat pergolakan politik ketika itu, malah berada dalam kekaburan dengan jawatan dan peranan yang perlu disandang.
Mengimbau semula kenangan dilantik memasuki Istana Negara pada 31 Januari 2019, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda sendiri pada awalnya tidak tahu peranannya sebagai ketua negara.
Detik pertama saya masuk Istana Negara memberi pengalaman agak manis apabila diingat semula. Ini kerana saya masuk ke jawatan yang saya sendiri tidak pasti apa peranannya.
Ketika dilantik, saya baru 15 hari menjadi Sultan Pahang, banyak perkara yang saya masih tak tahu dan kemudian terus dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Memang ia agak sukar bagi saya kerana tiada pengalaman, tetapi saya belajar perlahan-lahan.
Ditambah dengan empat Perdana Menteri yang ada sepanjang lima tahun saya menjadi Agong, siapalah saya dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman, tetapi saya banyak bertanya, belajar dan membaca.
Sumber: Harian Metro