Nampaknya makin bertambahlah jumlah wang yang perlu dibayar oleh Aidil Zafuan kepada Rita Rudaini. Jika sebelum ni jumlahnya sudah melebihi RM200,000, kali ini ditambah pula sebanyak RM300.
Jumlah terbaru itu diperintahkan oleh Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah yang membenarkan permohonan Peguam Syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita selaku plaintif yang memohon satu kos dikenakan ke atas defendan berikutan ketidakhadiran ke mahkamah kerana berada di Kuching, Sarawak atas urusan kerja.
Kegagalan Aidil untuk hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari semalam juga menyebabkan kes perbicaraan permohonan tuntutan nafkah dua anak yang sepatutnya disambung dengan soal balas peguam plaintif terhadapnya tertangguh.
Sepatutnya defendan (Aidil) perlu beri komitmen dalam kes ini walaupun ada arahan daripada majikan (untuk menyertai perlawanan bola sepak). tapi perlu diingat kehadiran dalam kes ini adalah atas perintah mahkamah.
Perlawanan bola sepak, malam (malam tadi) dan kes ini siang (semalam), sepatutnya majikan perlu ambil inisiatif untuk sediakan penerbangan lewat bagi membolehkan defendan hadir. Alasan remeh temeh menyebabkan kes tertangguh. Justeru, saya harap defendan dapat berikan komitmen selepas ini.
Terdahulu, Mohd Zaidi memaklumkan kepada mahkamah pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan soal balas terhadap defendan dan meneruskan kes dengan soal semula peguam defendan terhadap defendan.
Sumber : Berita Harian