Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyatakan dirinya akan lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak terutama bagi menganjurkan konsert berskala besar.
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Target Turun Berat Badan Lagi 7kg Sebelum Konsert MPO – ‘Menyanyi Dengan Orkestra Sangat Berbeza’
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Teruja Kongsi Pentas Dengan Ailee, Bakal Buat Persembahan Pembukaan
Ambil pengajaran
Ketika ditemui OhBulan!, Aina berkata dia mengambil pengajaran berhubung apa yang terjadi sewaktu menganjurkan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA 3.0) di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, tahun lalu.
Saya harap ini menjadi pengajaran untuk saya dan penyanyi di luar sana perlu lebih berani untuk bincang isu melibatkan kos, untung rugi sebuah konsert dan paling penting semuanya harus ada hitam putih.
Duit, kos dan untung rugi adalah perkara yang sangat penting. Perlu jelas dengan soal perniagaan muzik sebab banyak sangat benda berlaku.
Apa yang berlaku pada saya adalah apabila sudah separuh jalan baru tahu perkara yang dipersetuju berbeza dengan pemahaman saya. Itu yang saya belajar.
Saya tidaklah matang sangat dalam industri, baru beberapa konsert saja. Tetapi sekarang ramai penyanyi selesa untuk mengadakan konsert, jadi pesanan saya pastikan bincang soal duit dan harus ada hitam putih (kontrak).
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis iftar bersama media yang diadakan di Hyatt Palace Bukit Jalil, baru-baru ini.
Melanjutkan bicara, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata konsert ANWAA 3.0 tidak memberi sebarang keuntungan kepada pihaknya. Pun begitu, Aina mengakui kekhilafan daripada pihaknya.
Sebenarnya saya masih tidak jelas sampai sekarang. Kalau tanya saya di mana keuntungan, saya tidak rasa apa-apa.
Jadi, kita lihat macam mana rezeki akan datang kalau perkara ini boleh diselesaikan tetapi buat masa ini masih terumbang-ambing.
Saya sendiri pun banyak kesilapan. Malah, pihak saya sendiri tidak berapa tegas dan tidak pandai dalam urusan bisnes.
Jadi, saya tidak akan ambil sebarang tindakan hanya ‘move on’ sahaja dan buat benda lain pula.
Dalam perkembangan terkini, selain muncul dengan lagu Aidilfitri berjudul Jalan-Jalan Hari Raya, Aina kini sibuk membuat persiapan konsert bersama Malaysian Phiharmonic Orchestra (MPO) yang dijadualkan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei ini.