Penyanyi yang terkenal menerusi lagu ‘Aku Suka Dia’ Ainan Tasneem, 20 baru-baru ini dikatakan sudah berani mendedahkan statusnya yang sudah mempunyai teman lelaki dan difahamkan sering berkepit dengan lelaki tersebut.
Ainan Tasneem yang ditemui sewaktu sidang media pencalonan Muzik Muzik semalam turut mengakui perkara tersebut dan menyatakan dia tidak kisah untuk berkongsi cerita seperti itu dengan peminat.
“Saya rasa sekarang ni peminat dah lebih matang, jadi tak salah untuk saya berterus terang kepada mereka yang saya memang dah ada teman lelaki. Lagipun ada senior nasihatkan saya supaya lebih baik terus terang sahaja daripada tipu semua orang.”
“Kami dah kenal sebelum saya jadi artis lagi. Masa tu kami sama-sama belajar dekat Matrikulasi Perak dan sekarang ni sambung belajar kat tempat yang sama. Dia pun faham kerjaya saya dan nasihatkan saya supaya jangan lupa diri,” ulas Ainan Tasneem mengenai isu teman lelakinya.
Merujuk perkembangan terbaru, Ainan bakal berentap di separuh akhir Muzik Muzik pada 8 November ini dengan mempertaruhkan lagu ‘Aku Suka Dia.’
Menurut penyanyi manis ini, dia akan membuat persediaan dari segi susunan muzik yang lebih baik serta latihan yang konsisten. Pelajar jurusan Kejuruteraan Bio Proses ini turut melahirkan rasa teruja dan tidak sangka lagu yang diciptanya secara suka-suka boleh tercalon untuk ke peringkat separuh akhir.
“Ini merupakan satu penghargaan untuk orang kenal saya. Saya pun tak sangka lagu yang saya cipta dalam masa satu jam dan secara suka-suka boleh tercalon hingga ke tahap ini. Saya rasa sangat gembira kerana ada peminat yang undi lagu saya.”
“Pada awalnya saya memang tak berapa yakin dengan lagu ni, tapi setelah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, saya percaya lagu ini boleh ke peringkat seterusnya. Lagipun kekuatan lagu ini adalah dari segi lirik, melodi dan susunan muziknya yang baik,” ujar Ainan sambil tersenyum manis.