Aina Abdul menerusi lagu ciptaannya berjudul Jangan Mati Rasa Itu bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang akan berlangsung pada 3 Mac hadapan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aina Abdul Dedah Ibu Beri Idea Untuk Judul Lagu ‘Terus Hidup’
Artikel Berkaitan: ‘Lagu Untuk Siti Nurhaliza Belum Siap Lagi’ – Aina Abdul Enggan Tergopoh Gapah
Persiapan ke AJL38
Ketika ditemui OhBulan! Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkongsi bahawa dia kini sedang membuat persiapan sehabis mungkin untuk memastikan konsep yang dibawa pada acara yang berprestij itu membuahkan hasil.
Persediaan kali ini agak sukar sedikit kerana sudah tahun kelima dan ekpestasi orang agak tinggi. Itu juga membuatkan saya dan team saya tak dapat tidur malam untuk dapatkan satu konsep yang bersesuaian dengan ‘Jangan Mati Rasa Itu’. Persiapan sekarang baru 40 peratus.
Untuk konsep kali ini saya tidak menggunakan warna putih. Sebenarnya nak pakai juga warna putih lagi tahun ini tetapi nanti orang cakap tak ada idea pula..nak curi idea tahun lepas.
Sementara itu, penyanyi berusia 30 tahun itu berkata pentas AJL merupakan platform terbaik untuk berkarya walaupun mengakui berdepan dengan tekanan.
Pressure itu memang ada, terus terang cakap memang tahun ini paling pressure untuk saya tetapi Allah bagi saya satu rasa yang lain. Dalam pressure tu saya masih rasa seronok sebab mungkin ini adalah minat saya untuk berkarya di atas pentas. Jadi kalau tak ada benda ini saya akan rasa kosong.
Pressure itu sebab saya rasa semua orang berhempas pulas tetapi ianya adalah perkara yang baik kerana kerana kita ada daya saing yang sihat dan perkara itu sangat baik untuk industri.
Aina berkata demikian di majlis Meet & Greet Paling Ikonik AJL38 yang berlangsung di Pasar Seni pada Ahad.
Dalam pada itu, Aina berkata dia tidak kisah untuk mengeluarkan kos demi persembahan pada malam tersebut.
Saya akan berhabis lagi sebab AJL hanya ada setahun sekali. AJL ini adalah acara yang saya sayang dan menerusinya saya dapat keluarkan karya Aina Abdul.
Di pentas lain saya tak dapat nak buat macam ini. Kalau tak ada AJL di mana lagi saya nak berkarya dan rasa dihargai.
Anugerah penuh berprestij ini bakal menyaksikan sebanyak 12 buah lagu bersaing dan diadili oleh barisan juri professional yang dilancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil.
Siapakah yang layak menjadi juara dan dinobatkan sebagai lagu terbaik bagi AJL38? Adakah Aina bakal mengulangi kemenangannya? Atau sejarah baru bakal tercipta? Debaran kian terasa, sama-sama kita nantikan.