Penyanyi, Hafiz Suip mendedahkan bahawa motivasi utama di sebalik usaha dan kejayaannya dalam dunia seni adalah anak-anaknya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafiz Suip Harap Dapat Selesai Cara Baik, Anggap Konflik Rumah Tangga Ujian Allah SWT – ‘Moga Kami Berpisah Cara Baik’
Artikel Berkaitan: Hafiz Suip Mengaku Dalam Proses Cerai, Sedia Lepaskan Isteri Secara Baik Jika Tiada Persefahaman – ‘Saya Tak Nak Rumitkan Keadaan’
‘Saya buat semua ini untuk anak-anak’
Ketika ditemui oleh OhBulan!, Hafiz Suip, 35, meluahkan rasa teruja untuk kembali beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Hafiz mengakui kehadirannya kali ini membawa makna yang lebih istimewa, terutama apabila ramai peminat menantikan kemunculannya di kaca televisyen.
Menurut pelantun lagu Bahagiamu Deritaku ini lagi, setiap langkah dan usaha yang dilakukan dalam kerjayanya termasuk persembahan di AJL39, adalah demi membanggakan dua cahaya matanya iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5.
Saya buat semua ini untuk anak-anak. Saya nak mereka bangga melihat saya membuat persembahan di televisyen.
Saya rasa tak sabar dan teruja untuk ke pentas AJL sebab ramai sebenarnya menantikan kemunculan saya termasuk mak dan keluarga saya di kaca televisyen.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi Healing dan Meet & Greet bersama finalis AJL39 yang berlangsung di Gua Juicery, Taman Botani Putrajaya pada Sabtu.
Hafiz fokus pada persediaan AJL39
Dalam pada itu, Hafiz akui bahawa kontroversi yang melanda dirinya termasuk isu rumah tangga sedikit sebanyak telah mengganggu tumpuannya lebih-lebih lagi ketika menjelang AJL39.
Namun, dia memilih untuk tidak membiarkan perkara tersebut mengganggu konsentrasinya sebaliknya memberi sepenuh fokus melakukan persediaan AJL39 terlebih dahulu sebelum menyelesaikan perkara lain.
Cerita-cerita kontroversi membabitkan saya sedikit sebanyak memang mengganggu konsentrasi saya tapi saya alih perhatian saya kepada benda lain.
Saya tak boleh buat banyak benda dalam satu masa, sebab itu saya ambil keputusan untuk selesaikan satu demi satu perkara. Saya percaya, kerjaya sebagai penyanyi ini juga yang akan membantu masa depan saya.
Apabila ditanya mengenai ramalan orang ramai yang menentukan kemenangannya pada AJL39, Hafiz mengakui turut berasa tekanan dengan perkara itu.
Saya sebenarnya tertekan juga bila baca komen, ramai yang letakkan harapan supaya saya menang vokal. Mereka suruh saya kalahkan Ernie Zakri, Aina Abdul, Nadeera, Marsha dan ramai lagi. Tapi bukan mudah benda tu sebab mereka semua sangat hebat.
Ujar Hafiz, dia tidak menyimpan harapan tinggi untuk menang, tetapi mahu semua penonton terhibur dengan persembahan semua finalis pada malam tersebut.
untuk info, AJL39 bakal bersiaran langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dan dipancarkan di TV3 jam 9 malam atau boleh juga distrim secara HD di www.tonton.com.my.
Untuk mendapatkan tiket konsert AJL39, anda boleh membuat pembelian di www.wowtix.com.my.