Sejak perniagaan Burgerbyte mula dikenali dan diuruskan secara francais oleh pelawak, pelakon dan penyanyi terkenal Zizan Razak sekitar tahun lepas, jarang kita mendengar pelanggan mengadu tentang masalah serius.
Namun ramai yang terkejut dengan kenyataan dikeluarkan di Twitter milik Burgerbyte malam tadi seolah-olah label makanan itu mempersoalkan status halal dan identiti pesaing mereka yang bukan Islam.
Segalanya bermula apabila seorang individu bertanya secara umum tentang keenakan Burgerbyte di laman Twitter sebelum seorang individu lain mengesyorkan agar dia mencuba makanan myBurgerLab.
Bagaimanapun secara tiba-tiba Burgerbyte turut membalas perbualan di laman sosial tersebut dengan mempersoalkan tindakan masyarakat Melayu yang sering makan di restoran bukan Islam.
Tindakan Burgerbyte itu telah mewujudkan sentimen negatif dan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan pengikutnya. Malah isteri kepada pengacara JJCM, Nazrudin Habibur Rahman turut menyelar kenyataan yang dikeluarkan.
OHBULAN! sudah menghubungi Zizan selaku pemilik Burgerbyte cawangan Damansara Perdana bagi mendapatkan penjelasan namun selebriti itu meminta diberikan sedikit waktu untuk menyiasat perkara ini.
Untuk pengetahuan anda, restoran Burgerbyte mula ditubuhkan pada Disember 2012 oleh Chef Nasirudin Abu Hassan sebelum Zizan tertarik untuk membuka francais bersama rakan kongsinya tahun lepas.