Dua hari lalu tersebar di laman sosial mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Namun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menafikan perkara itu dan menyatakan ianya hanya khabar angin.
Terbaru, media melaporkan Sultan Muhammad V sudah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.
Sudah maklum secara rasmi
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.
Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.
Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.
Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.
Ucap penghargaan
Sultan Kelantan itu juga turut menzahirkan penghargaan buat Perdana Menteri dan rakyat jelata yang memberi kerjasama sepanjang pentadbirannya.
Kepada rakyat Malaysia, Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Tuanku telah bersedia berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri, dan terutamanya rakyat Kelantan bagi menjaga dan membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat.
Sumber: Berita Harian