Nama Azrinaz Mazhar Hakim pernah menghiasi kaca TV apabila bergelar personaliti di TV3 suatu masa dahulu. Dia kemudiannya menyepi bagi memberi fokus kepada rumah tangga yang dibina dengan seorang kerabat diraja. Setelah kembali solo, barulah namanya mula meniti di bibir peminat yang merindui kelibatnya.
Azrinaz dalam satu posting Instagramnya mengumumkan berita gembira sekaligus menghentikan gosip dan tuduhan liar mengenai dirinya sebelum ini.
Umum nikah 1 Mei lalu
Azrinaz mengumumkan dia telah selamat bergelar isteri buat kali kedua 1 Mei lalu. Jejaka yang menjadi pilhan hatinya adalah rakan yang dikenali 20 tahun lalu dan kembali rapat sejak setahun lepas. Tambahnya, suaminya, Fairos Khan memahami dirinya dari segi gaya hidup dan latarbelakang pekerjaan.
Setelah mengenali hati budi, pasangan bujang bernama Fairos Khan Abdul Hamid menjadi ‘mangsa’. Beliau yang memahami rentak kehidupan dan kehendak saya berlatarbelakangkan TV penyiaran sebagai pekerjaan.
Mereka dinikahkan di kediaman pengantin perempuan berwalikan bapa Azrinaz sendiri dan dihadiri keluarga terdekat.
Mohon maaf kepada media
Azrinaz dan pasangan juga meminta ampun dan maaf kepada pihak media kerana tidak berkongsi berita itu lebih awal. Ini kerana, mereka lebih memilih untuk menjaga privasi rumah tangga yang baru dibina sebelum segalanya selamat dilangsungkan.
Kami bukanlah sempurna, dengan ketidaksempurnaan inilah yang melengkapi kami berdua. Dari lubuk hati, maaf dipohon, 10 jari disusun kerana berita ini tidak dikongsi dengan rakan2 media terlebih dahulu mahupun sahabat handai.
Biarlah penyatuan ini selamat selesai semuanya sebelum hebahan tiada kena mengena semata-mata. Hubungan yang terjalin ini saya memilih cara lebih ‘privacy’ begitu juga dalam melayari alam rumahtangga nanti.
Bukan material dicari
Ujarnya lagi, Fairos menjadi pilihan bukanlah kerana dia mengejar harta namun dia hanya memerlukan seorang suami yang dapat memimpinnya dan menemani dirinya sehingga ke hari tua.
Bukan material yang dicari, cukuplah seorang insan yang dapat membimbing, menemani, menyayangi, menghargai, menghormati dan menyanjungi diri ini dikala susah senang, cerdas dan sakit, sewaktu kepala masih diliputi rambut mahupun sehelai dua.
Sumber: Azrinaz Mazhar Hakim