Pelakon Fify Azmi, bersifat terbuka dan bersedia menerima kritikan daripada peminat berhubung aksi kurang sopan yang ditonjolkan olehnya dalam filem ‘Fanna’ arahan Andy Weng Sum Liew.
Artikel Berkaitan: Fify Azmi Jawab Dakwaan Kerap Terjebak Cinta Lokasi, Nafi ‘Playgirl’ – ‘Biarlah Orang Buat Andaian’
Artikel Berkaitan: Filem ‘Fanna’ Bakal Temui Penonton Di Pawagam Mulai 28 September Ini!
Tunjuk jari tengah
Meskipun filem tersebut belum ditayangkan di pawagam tempatan, Fify berkata adegan dia menunjukkan jari tengah (isyarat lucah) akan dipaparkan dalam keadaan kabur. Tambah Fify lagi, dia sekadar menuruti kehendak pengarah demi menjayakan watak ‘Fanna’.
Sebenarnya, saya ingat aksi tunjuk isyarat jari tengah itu pihak produksi akan buang. Sampai beberapa kali jugalah aksi itu terdapat dalam filem ini. Aksi itu pengarah yang suruh saya buat. Saya sendiri pun terkejut tetapi okay saja untuk lakonkan sebab saya faham, ini filem bukan drama.
Benda macam ini tak ada masalah pun. Cuma, bagi saya, kalau dia setakat dikaburkan, lebih baik tak payah ditayangkan. Buang saja babak itu.
Fify yang ditemui selepas majlis Tayangan Perdana Filem Fanna di sebuah pawagam di sekitar ibu kota, turut berkata, secara peribadi dia tidak bersetuju jika aksi itu terus dipaparkan kerana bimbang mampu mengundang imej buruk pada dirinya.
Pada mulanya memang nampak macam tak ‘best’. Tetapi bila fikir balik, tak apalah, ini kan filem dan cuma sekadar lakonan. Saya faham ada beberapa perkara yang tak boleh dipertontonkan, tetapi ini filem, bukan drama.
Menurut Andy selaku pengarah filem tersebut, babak Fify menunjukkan isyarat jari tengah itu dianggap sebagai satu aksi semula jadi bagi memaparkan emosi kemarahan.
Ujarnya lagi, pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga telah meneliti babak tersebut dan mencadangkan agar aksi itu cuma dikaburkan sahaja.
Saya tidak fikir apa-apa, cuma itu adalah secara semula jadi buat kalau kita terlalu marah akan sesuatu hal dan sebagainya. Bila dinilai di LPF, mereka pun tidak potong babak itu namun suruh kami kaburkan aksi tersebut di layar untuk tayangan.
Sekadar info, filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 28 September ini. Jadi jangan lupa pergi tonton okay!