Kes membabitkan pembunuhan di antara pasangan kekasih seakan sudah tidak lagi menjadi perkara yang janggal pada hari ini. Jenayah sebegini sering dilaporkan berlaku akibat daripada pelbagai punca seperti perasaan cemburu, cinta ditolak, pergaduhan remeh antara pasangan dan macam-macam lagi.
Peguam ini menceritakan sebuah kes dan kronologi di mana seorang individu telah mengaku membunuh teman wanitanya hanya kerana dirinya ditolak selepas diajak berkahwin.
Masuk balai
Menerusi satu perkongsian yang dibuat peguam bernama Kamarul ini di laman Twitternya, beliau menceritakan semula satu kes di mana seorang suspek kes bunuh telah mendedahkan serta membuat sendiri laporan di balai polis bahawa dia telah membunuh teman wanitanya.
Suspek cerita pada majikan
Memulakan kisah tentang kes itu, peguam ini berkata suspek tersebut bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran. Katanya pada satu malam, majikan di tempat kerja suspek telah mulai perasan dengan perubahan sikap suspek yang kelihatan seperti tidak tentu arah.
Selepas ditanya oleh majikannya, suspek kemudian bercerita tentang apa yang telah terjadi olehnya. Apa yang mengejutkan, suspek telah memberitahu kepada majikannya bahawa dia telah membunuh kekasihnya.
Cinta ditolak
Tidak terhenti di situ sahaja, suspek pada ketika itu turut mendedahkan gambar mangsa kepada majikannya. Malah tidak cukup dengan itu, dia juga berniat untuk menunjukkan pisau yang telah digunakan bagi membunuh kekasihnya kepada majikan namun ditolak. Majikannya bagaimanapun menyuruh suspek untuk menyerah diri ke balai polis.
Suspek dikatakan sangat menyayangi mangsa, tetapi jenayah itu dilakukan apabila mangsa yang juga teman wanitanya telah menolak ajakan suspek untuk berkahwin.
Suspek tunjuk lokasi bunuh mangsa
Pengakuan suspek di balai telah membuatkan semua tergamam. Ekoran daripada jenayah yang dilakukan itu, suspek kemudian telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan membunuh mangsa.
Jika didapati bersalah, suspek berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.
Suspek mengaku tak sedar bunuh mangsa
Ketika perbicaraan, peguam bela suspek berhujah bahawa suspek tidak berniat untuk membunuh mangsa malah mengaku tidak menyedari tentang apa yang telah berlaku.
Malah menurut peguam belanya, suspek hanya sedar melakukan perbuatan itu selepas melihat badan mangsa yang terlantar di atas lantai.
Dihukum gantung sampai mati
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi menolak hujahan peguam bela suspek. Suspek didapati telah berniat untuk membunuh mangsa malah turut mengaku membuat jenayah tersebut.
Mahkamah kemudian memutuskan suspek bersalah atas kesalahan membunuh mangsa dan dia dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Sumber: Twitter SirKamarul