Sejak semalam, kecoh di laman sosial terhadap tindakan seorang pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia yang memuat naik konten sensitif mengenai tragedi MH370.
Artikel Berkaitan: Anak Masih Menangis Rindu Ayah, Isteri KRU MH370 Selar Jenaka Pelawak Singapura – ‘Kamu Tidak Ada Perasaan’
Perkongsian yang dimuat naik di laman sosial milik pelawak itu telah mengundang rasa marah dalam kalangan warganet terutama rakyat Malaysia. Malah ia turut menyorot perhatian pelawak dan pelakon terkenal, Didie Alias.
Menjaga sensitiviti
Didie menerusi satu hantaran terbaharu di Instagramnya menasihatkan Jocelyn untuk lebih peka dan menjaga sensitiviti ketika berlawak.
Tegasnya, lebih elok jika lawak yang dihasilkan tidak menyentuh sesuatu isu yang melibatkan negara.
Kami (rakyat Malaysia) memaafkan, tapi lepas ini kalau nak buat lawak, janganlah melibatkan negara atau sebagainya. Ia bukan sesuatu perkara yang lucu untuk dipermainkan.
Kau buatlah lawak pasal keluarga kau ke, binatang ke, pokok ke atau diri sendiri.
Dalam pada itu, Didie berkata, meskipun dia seorang komedian, namun tidak pernah sekali pun terdetik dalam dirinya untuk membuat lawak melibatkan negara.
Justeru, Didie berharap, insiden tersebut menjadi pengajaran untuk semua pelawak tanah air.
Perlu jaga sensitiviti sekeliling. Aku pelawak wanita dekat Malaysia pun tak pernah sentuh negara jiran langsung.
Pengajaran buat diri sendiri dan juga semua pelawak-pelawak di Malaysia.
Terdahulu, Jocelyn dikatakan telah membuat jenaka keterlaluan dalam sebuah pementasan komedi berdiri dengan menyentuh isu sensitif termasuk tragedi MH370.
Malah, dia juga membuat perbandingan negara Singapura lebih maju berbanding Malaysia selepas keluar dari pembentukan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menone yang mewakili negara tersebut memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kelakuan pelawak terbabit.
Jelasnya lagi, Jocelyn bukan lagi memegang status sebagai warganegara Singapura dan ia sama sekali tidak menggambarkan pandangan negara terbabit terhadap Malaysia.
Sumber: Instagram