berita

Aliff Aziz Juara GV8, Wang Tunai RM100,000 Jadi Milik

January 24th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Pertarungan pentas akhir musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz muncul juara program realiti itu, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan: Netizen Tak Puas Hati Asyik Bella Astillah Bersuara Isu Anak Emas, Aliff Aziz Anggap Rezeki Dapat Mara ‘Final’ GV8

Artikel Berkaitan: Ramalan GV8: Nikki Palikat, Aliff Aziz & Aweera Antara Finalis Yang Bakal Raih Top 3 Malam Ini?

Kemenangan ini milik semua

Mempersembahkan dua tugasan merangkumi solo dan duet serta ‘battle’, Aliff menumpaskan lima peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan Piala Gegar Vaganza.

Aliff mendendangkan Sampai Syurga secara solo dan lagu Dealova duet bersama Hafiz Suip, manakala segmen ‘battle’ berentap bersama Aweera menerusi lagu Bangun (Aman Ra).

Dalam ucapan kemenangan, Aliff berkata, kejayaan yang diperoleh itu adalah untuk semua yang terlibat dalam program berkenaan dan rezeki keluarganya.

Allahuakbar! Alhamdulillah segala pujian bagi Allah atas kejayaan ini. Terima kasih kepada peminat dan keluarga saya di rumah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya, kemenangan ini milik semua.

Tahniah semua pemenang

Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi oleh Nikki Palikat dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan Piala Gegar Vaganza.

Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Suki Low serta Adibah Noor dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dan RM20,000 serta Piala Gegar Vaganza.

Bagi peserta lain, Azan Scan dan Aweera masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam yang membawa pulang duit sebanyak RM15,000 dan RM10,000 bersama Piala Gegar Vaganza.

Aweera turut memenangi Anugerah Betul-Betul Luar Biasa Digi RM5,000 dan Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak.

Kesemua peserta perlu menyelesaikan dua tugasan iaitu nyanyian (solo dan duet) dan pusingan battle antara mereka.

Pentas akhir GV8 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Joe Flizzow.

GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu.

SKIP THIS AD ×