Thanuja Ananthan, 26 atau lebih dikenali sebagai Thanuja merupakan model yang memegang gelaran Miss World Malaysia 2009/2010. Kecantikan beliau membuatkan mata anda tidak berkelip kerana sedikit terpaku dengan kejelitaan asli yang dimilikinya. Kehalusan kulit serta tona warna kulit beliau yang nampak halus dan bersih membuatkan beliau benar-benar kelihatan sangat menarik.
Bukan sahaja cantik rupa paras, malah pemilik ijazah dalam bidang undang-undang dari Universiti Northumbria, New Castle, United Kingdom ini juga bijak dalam setiap tutur katanya melengkapkan pakej kecantikan yang ada. Bercakap mengenai kecantikan, beliau juga berkongsi perasaan rasa bertuah kerana sejak kecil lagi beliau tidak pernah menghadapi masalah pada kulit.
Bagaimanapun, dia masih perlu menjaga kecantikannya. Petuanya kata Thanuja, sesibuk mana sekalipun seseorang wanita itu, perkara paling penting yang tidak boleh ditinggalkan adalah tidur tanpa mekap. Thanuja menggunakan “scrub” muka untuk merawat kulit wajah. Selain itu, beliau tidak lupa menggunakan asas produk penjagaan kulit muka seperti pencuci, penyegar, pelembap dan krim pelindung cahaya matahari.
Mengenai penjagaan rambut pula, Thanuja menyapu minyak zaitun pada rambutnya yang ikal itu supaya sentiasa kekal sihat.
Tentang amalan tradisional pula, Thanuja berkongsi petua menyapu muka dengan kacang hijau yang dikisar dan di campur dengan air untuk dijadikan “scrub” muka. Selain mengamalkan petua penjagaan muka beliau juga turut mengawal pemakanan, dia turut mengamalkan aktiviti riadah yang sihat seperti senaman yoga pada setiap hari, berenang dan berlari pada hujung minggu.