Desas desus mengenai keretakan rumah tangga akhirnya terjawab apabila pelakon, Nadia Brian, mengesahkan bahawa suaminya telah memfailkan kes perceraian mereka di mahkamah. Sehingga kini, mereka masih menunggu tarikh perbicaraan yang tertangguh akibat Covid-19.
Artikel berkaitan: ‘Ya, Dia Sudah Failkan Perceraian..’ – Nadia Brian
Memetik laporan Harian Metro, suami, Muizz Nasruddin berkata penceraian telah difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 2 Oktober lalu.
‘Amat sukar untuk saya maafkan’
Kata Muizz lagi, dia akan dianggap sebagai lelaki dayus sekiranya tidak menceraikan isteri. Malah, dia turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Balai Polis Cyberjaya pada 6 Oktober.
Saya sendiri nampak isteri saya bersama seorang lelaki di bilik hotel di Cyberjaya.
Saya nekad dengan keputusan ini kerana kecurangan yang dilakukan isteri, amat sukar untuk saya maafkan. Jika saya tak ceraikan dia, saya menjadi suami yang dayus. Moga Allah lembutkan hati saya untuk maafkan perbuatannya.
Tambahnya, tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 3 November lalu telah ditangguh disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ramai yang tanyakan mengenai bukti-bukti yang ada pada saya. Ikutkan hati, saya memang nak tunjuk. Namun, oleh kerana kes ini masih dalam siasatan polis, saya serahkan kepada mereka. Ada juga bukti dan keterangan lain daripada pihak saya untuk membuktikan mereka berdua menginap di situ selama dua malam.
Sekiranya siasatan selesai, apa yang dilakukan lelaki ini adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dituduh di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah,
Saya tak faham ‘fitnah’ apa yang dikatakan oleh isteri saya. Kenapa saya nak fitnah isteri sendiri? Kami baru berkahwin tak sampai setahun. Apa yang saya peroleh dari semua ini? Saya ada bukti yang secukupnya. Apa yang paling penting saya nampak dengan mata kepala saya sendiri.
Mengenai kenyataan yang dibuatnya, Muizz mendakwa dia mempunyai bukti yang cukup. Namun, dia tidak boleh mendedahkannya kerana kes masih dalam siasatan polis.
Mahu bersihkan nama, maruah keluarga
Dakwa Muizz lagi, segala bukti sudah dikemukakan dan dia mohon isteri berhenti berlagak sebagai mangsa. Dia juga tidak mempunyai niat untuk mengaibkan isteri sebaliknya mahu membersihkan nama dan maruah keluarga.
Saya sudah menunjukkan bukti-bukti yang saya ada kepada isteri dan keluarganya. Isteri saya pun mengaku kesilapannya kepada saya. Adakah itu masih fitnah? Kenapa tidak nafikan kenyataan saya? Sudah sudahlah berlagak sebagai mangsa di media sosial untuk menunjukan yang saya ini jahat. Kenapa masih menegakkan benang basah?
Saya tidak berhasrat untuk mengaibkan isteri tetapi saya harus bersihkan nama dan maruah saya dan keluarga. Saya juga harap ini dapat dijadikan satu pengajaran kepada mereka yang dicurangi kerana ada undang-undang yang boleh membantu kita. Saya ingin episod ini berakhir secepat mungkin supaya saya boleh meneruskan kehidupan. Kebenaran itu pasti. Insya-Allah.
Tambahnya, dia berharap kes ini dijadikan pengajaran kerana terdapat undang-undang yang boleh membantu individu yang dicurangi.
Sumber: Harian Metro