Jika artis lain sibuk merakam single terbaru dan mungkin ada juga yang sedang sibuk merakam album terbaru mereka, lain pula pada bekas peserta Akademi Fantasia dan juga salah seorang ahli kumpulan Go Gerila yang telah menyertai program realiti “Versus”, Amir Jahari.
Amir Jahari ketika ditemui di program Yok Sahur Murai 5 yang diadakan di rumah Anak Yatim Darul Izzah pada Sabtu lepas telah menjelaskan kemana dia menghilang selama 2-3 bulan ini.
“Sekarang saya sibuk merakamkan album terbaru dan kini sedang merakamkan kembali lagu “Gelisah” untuk dimasukkan kedalam album baru. Album terbaru saya ini akan mempunyai 10 buah lagu kesemuanya dan ia adalah ciptaan saya sendiri,” jelas Amir mengenai albumnya.
Album solo Amir bakal dilancarkan hujung tahun ini dan Anas Amdan pula adalah produser bagi albumnya ini. Apa yang menarik, lagu, lirik dan juga susunan lagu didalam album ini semua adalah hasil kreativiti Amir sendiri.
Ditanya pula mengenai perkembangan Amir Jahari tentang Go Gerila yang sudah menjadi sebahagian dari perjalanan seninya, pengurus Amir Jahari, Joe Lee memberitahu bahawa Amir sedang merakamkan album terbaru bersama kumpulan itu dan baru-baru ini, mereka telah merakamkan sebuah muzik video berjudul “Ku Pilih”. Lagu ini telah dipilih khas oleh kerajaan sebagai lagu Merdeka dan akan dinyanyikan semula dalam versi Go Gerila.
Apa pun, mari kita dengarkan lagu Amir bersama kumpulan Go Gerila selepas ini ya!