Mungkin ramai antara kita memasang cita-cita zaman kanak-kanak ingin menjadi seorang anak kapal (flight attendance) dalam salah sebuah syarikat penerbangan. Perkara itu juga pernah dilalui oleh Amy Mastura, dan siapa sangka penyanyi lagu Sha Na Na ini pernah dipanggil menghadiri temuduga sebagai anak kapal.
Lebih menarik lagi, apabila Amy Mastura berpeluang menaiki pesawat jenis Fokker F27 bagi tugasan pertamanya di Malaysia Airlines.
Pengalaman Fokker F27
Pengalaman paling bermakna dalam hidup Amy Mastura ini telah dikongsi bersama Zarul Umbrella yang juga merupakan bekas anak kapal Malaysia Airlines. Difahamkan, pada awalnya Amy Mastura pernah ke sesi temuduga Singapore Airlines dan tidak berjaya kerana faktor ketinggian. Cita-citanya tidak berakhir di situ apabila menerima surat dari Malaysia Airlines untuk temuduga selepas tamat SPM.
Mula-mula saya pergi Singapore Airline, ternyata tak dapat sebab tak cukup tinggi sampai saya putus asa sebab malu. Tak tahu macam mana Malaysia Airlines hantar surat. Agaknya dia dapat nama-nama yang pergi interview Singapore Airlines tu.
Saya dapat masuk kerja dan masuk akademi untuk belajar solekan dan sebagainya. Saya ada pengalaman Fokker F27 dan saya based in Sarawak. Penumpang ketika itu ada bawa naik macam-macam termasuk ayam, itik, kambing. Kargo dan tempat duduk anak kapal seiring, kat belakang tu je.
Ada kawan saya punya flight, dia orang bawa ular. Sampai ular tu terlepas dalam flight, semua mencari tapi selamat.
Perkongsian cerita Amy Mastura
Tambah Amy Mastura lagi, dia turut berkongsi pengalaman penumpang yang baru sahaja menaiki pesawat tersebut. Keadaan sedikit huru-hara disebabkan penduduk di sana baru didedahkan dengan pengakutan seperti pesawat sebegini.
Dulu, Fokker F27 masa di udara tu angin masuk tau. Bunyi bising, lepas tu kita kena ambil tisu dan basahkan untuk tutup lubang-lubang. Saya tak menyesal sebab itu pengalaman. Masa tu rasa seronok sebab baru habis sekolah.
Sumber: Zarul Umbrella