Amyza Adnan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri lakonan tanah air. Lazimnya dramatis ini sering dikaitkan dengan watak-watak komedi sehingga dirinya mengakui tidak mahu bersikap stereotaip dengan sesuatu watak serta ingin mencuba pelbagai karakter selepas ini.
“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan tetap ada, sama ada untuk watak komedi mahupun serius. Kalau boleh saya tak nak bersikap stereotaip dengan satu watak sahaja.”
Dalam pada itu, Amyza ketika ditemui di majlis ramah mesra untuk drama terbaru slot Aksi, TV3 berjudul ‘Spy M,’ telah melahirkan rasa puas kerana buat julung kalinya dia bakal membawa watak serius menerusi karakter seorang perisik.
“Ini adalah kali pertama saya pegang watak ‘Spy’ dan ia adalah watak yang lain daripada lain. Dalam drama ini saya kena belajar ‘fighting’ dan buat ‘stunt.’
“Saya rasa berbaloi dan rasa puas sebab watak macam ini saya tak dapat dalam drama atau filem lain.”
“Rasa teruja sebab bila umur dah masuk 30-an baru dapat tawaran bawa watak sebegini,” ujar Amyza sambil tergelak.
Mengulas lebih lanjut mengenai watak perisik yang bakal dibawa oleh Amyza, dramatis berbakat ini turut melahirkan rasa gembira dan tidak menyangka bakal membawa watak seperti Angelina Jolie.
“5 tahun lepas saya pernah tengok lakonan Angelina Jolie bawak watak perisik, masa tu saya tertanya-tanya dengan diri sendiri, adakah saya akan berpeluang menerima tawaran watak lasak seperti pelakon Hollywood tersebut?”
“Sekarang bila dapat watak perisik, saya rasa sangat gembira meskipun watak ini banyak menguji kekuatan mental dan fizikal.”
Bagi peminat-peminat Amyza Adnan, jangan ketinggalan untuk menyaksikan lakonannya menerusi drama ‘Spy M’ pada jam 9 malam ini di TV3.