berita

Anak 3 Tahun Berkelakuan Aneh, Bila Dihantar Ke Hospital Rupanya Positif Dadah Angkara Bapa Tiri

April 21st, 2021 | by Amat
Kini Trending

Di Nilai, seorang lelaki telah bertindak memasukkan dadah ke dalam tubuh kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga mangsa berkelakuan aneh. Perkara itu dibongkar sendiri oleh ibu kepada kanak-kanak berkenaan apabila dia mendapati mangsa berkelakuan pelik.

Masukkan dadah dalam tubuh anak tiri

Memetik laporan Kosmo, kini pihak polis sedang mengesan lelaki tersebut yang dipercayai ayah tiri kepada mangsa. Suspek bernama Mohd Faresh Khaled berusia 38 tahun itu didakwa telah memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine ke dalam tubuh anak tirinya ketika menjaga kanak-kanak berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman telah menerima laporan dari seorang doktor yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur ketika membuat rawatan terhadap mangsa.

Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kanak-kanak itu mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine. Sebelum itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak itu ke hospital pada Khamis lalu untuk rawatan setelah melihat dia berkelakuan aneh dan tidak seperti biasa.

Sehubungan itu, polis kini sedang berusaha mengesan suspek, Mohd. Faresh Khalid, 38 dan bekerja sebagai tukang jahit dengan alamat terakhir di Pangsapuri Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Taman Desa Jasmin, Nilai.

Difahamkan, mangsa telah dijaga oleh ayah tirinya pada sehari sebelum hari kejadian tersebut di Nilai. Suspek dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Kosmo

SKIP THIS AD ×