Sumber foto: Harian Metro
Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa syukur apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di sekitar Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang, pada Jumaat.
Artikel berkaitan: Jamal Abdillah Kena Tutup ‘Kilang’, Doktor Nasihat Isteri Untuk Tidak Hamil Lagi
Artikel berkaitan: [VIDEO] Tiru Jamal Abdillah, Yaki Zamani Cuit Hati Netizen – ‘Suka Usik Ayah Dia’
Artikel berkaitan: [VIDEO] Pernah Lambak Wang Kemenangan Dekat Arwah Mak, Netizen Cakap Zaki & Yamani Ikut Perangai Jamal Abdillah
Dapat bayi perempuan
Memetik Harian Metro, Jamal atau nama lengkapnya Jamal Ubaidillah Haji Mohd Ali, 63, berkata, bayi perempuan itu dilahirkan dengan berat 2.94 kilogram menerusi pembedahan selepas menerima nasihat doktor.
Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat dan cukup sifatnya pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Isteri dan bayi perempuan kami juga berada dalam keadaan sihat dan baik-baik saja.
Tambah penyanyi yang popular dengan gelaran Raja Pop itu, kehadiran bayi keempat itu sudah melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya bersama Zai Izzati dengan memiliki dua pasang anak lelaki dan perempuan.
Malah, pelantun lagu Azura itu sepakat bersama isteri untuk menamakan bayi baharu mereka Rahil Laura Salsabila Yamani.
Sambutan Aidilfitri kami pada tahun ini juga lebih meriah dengan kehadiran anggota baharu dalam keluarga kami.
Dengan kelahiran anak keempat ini, sudah lengkap keluarga kami dengan empat pasang anak lelaki dan perempuan. Doktor juga menasihatkan isteri supaya tidak mengandung lagi kerana semua empat anak kami dilahirkan secara pembedahan sebelum ini.
Untuk rekod, Jamal dan Zai Izzati sah bergelar suami isteri pada April 2017. Hasil perkongsian hidup, mereka sudah memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun.
Manakala, menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.
Sumber: Harian Metro (Ramlah Zainal)