berita

‘Anak Kita Tak Lagi Dibesarkan Oleh Ibu Bapa Tapi..’. – Teguran Terhadap Masyarakat Yang Salahkan Nora

September 4th, 2020 | by Shafika
Isu & Kontroversi

Sejak semalam, kontroversi melanda anak penyanyi terkenal iaitu Nora Ariffin menjadi bualan hangat di media sosial. Pelbagai reaksi dan respon diterima yang rata-ratanya bersimpati dengan penyanyi itu. Malah, anak lelaki Nora turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap adiknya itu.

Artikel Berkaitan : ‘Dua-Dua Salah Sebab Buat Dosa..’ – Adik Dikritik, Anak Lelaki Nora Buka Mulut

Di Facebook, seorang individu menyelar tindakan segelintir netizen yang mengkritik Nora sehingga menyerang di ruangan komen media sosial milik penyanyi itu. Menurutnya, ibu bapa hari ini berdepan dengan cabaran dalam membesarkan anak-anak walaupun sudah diberi didikan agama secukupnya.

Bukan salah ibu


Ramai serang seorang ibu atas ketergelinciran anaknya yang viral dalam video dua budak bercumbu. Realitinya, hari ini, sebaik mana pun ibu bapa mendidik anak, akhirnya anak itu akan tetap berhadapan dengan dunia. Ketika itu, anak itu akan sangat bergantung kepada persekitaran. Saya pernah beberapa kali melihat, anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang soleh & solehah, yang bukan agama hanya di mulut, diberikan pula pendidikan agama dari tadika sampai menengah, bahkan ada sampai universiti, hanya untuk anak itu kemudian tidak mempraktikkan ajaran Islam.

Salah ibu bapa itu kah? Saya yakin jawapannya tidak. Kadang kita rasa ralat bila mereka memandang kita dan rasa anak mereka ‘tak jadi’. Kepedihan rasa ‘kegagalan’ sebagai ibu bapa terpamer di wajah mereka. Tapi kita tahu, mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh! Ibu Bapa bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab pada hari ini. Anak tidak lagi hanya dibesarkan oleh Ibu Bapa. Zaman sekarang, anak dibesarkan juga oleh masyarakat. Melalui kandungan internet, drama dan filem, selebriti, pempengaruh, YouTube, Netflix, Game, Muzik.

Bina keluarga masing masing

Belum kita cerita pula kewujudan pihak-pihak, organisasi-organisasi yang menentang ‘kongkongan’ hidup beragama, dan setiap hari mempromosikan normalisasi dosa. Semua ini jarum-jarum yg akan mencucuk dan mempengaruhi anak-anak kita, seawal usia 6 tahun pun. Bukan macam dulu, masuk universiti baru ‘nampak dunia’. Apalah sangat Ibu Bapa mampu usahakan? Akhirnya anak tetap akan berhadapan semua itu. Kalau tak lalu gajet, lalu anak-anak orang lain di tadika, sekolah rendah, menengah.

Maka sebenarnya menjadi peranan kita, masyarakat untuk benar-benar serius bergerak memenangkan anasir kebaikan, kesopanan, tatasusila, penjagaan syariat, gaya hidup Islam. Kitalah yang bertanggungjawab, berusaha menyaingi anasir-anasir buruk dan kotor. Bermula dengan diri sendiri. Hendaklah kita rasai bahawa kita ini satu jaringan. Tidak semua orang sempurna, tidak semua keluarga sempurna, maka kita perlu saling lengkap melengkapi. Ya ada keluarga tak dapat didik anaknya dengan baik. Maka dinding seterusnya ialah sekolah & guru. Ya, ada pelajar tercicir maka dinding seterusnya ialah kita dan masyarakat.
Masing-masing perlu ada visi dan misi, serta usaha yang gigih untuk:

– membina keluarga yang baik
– mendidik anak jadi baik
dan jika ada kemampuan lebih,
– bina wasilah-wasilah kebaikan, di internet atau realiti.

Jika kita bergerak secara kolektif, insyaAllah, lambat laun ada kesan. Hal ini takkan dapat disembuhkan dengan mengecam si ibu, si bapa. Kita tak tahu cabaran mereka hadapi dalam membina keluarga masing-masing.

Bantu bina masyarakat yang baik

Tapi kita boleh bantu dengan berperanan membina masyarakat yang lebih baik. Membina suasana solehah. Sebab saya juga ada pengalaman melihat anak yang datang daripada keluarga rosak, tak amal Islam, tak ada adab & tatasusila. Tapi bila anak itu berkawan dengan kumpulan yang baik, hidup dalam bi’ah solehah yang dibina oleh kawan-kawannya, dia akhirnya berubah ke arah kebaikan. Dia mempraktikkan Islam, mengangkat adab, kesopanan dan tatasusila. Suasana ada kesan. Kitalah yang kena usahakan suasana itu. Di internet, di alam realiti. Usahakan berkadar kapasiti masing-masing.

Macam saya, selain fokus kepada pembinaan keluarga sendiri, saya tulis novel yang jauh dari tahyul, carut & lucah. Dalam novel saya, Islam & nilai murni diangkat. Sekurang-kurangnya itulah usaha saya mampu, bagi menyaingi anasir-anasir keburukan dan kerosakan di luar sana. Setiap orang ada kemampuan, kelebihan berbeza. Usahakan berkadar kemampuan dan kelebihan kita.
Jika kita semua berperanan, semua mengusahakan sesuatu, paling kurang dengan membina peribadi sendiri dengan baik. InsyaAllah, ada kesan positif. Yang penting, kita perlu ada kesedaran untuk bergerak dan mengusahakan peranan ini. Kerana hari ini mungkin kita lihat anak orang lain tergelincir, esok lusa mungkin kejahatan dan kerosakan akan mengetuk pintu rumah kita pula, dan menggelincirkan anak-anak kita. Na’udzubillah. Muhasabah.

Dapatkan karya-karya dari Hilal Asyraf di: https://promo.hilalasyraf.com/sinopsistestimoni/

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×