Hati ibu mana yang tidak terkejut apabila anak yang disayangi sudah meninggal dunia. Menerusi laporan Harian Metro, ibu kepada arwah Amiruddin Naim Ariffin, pelajar yang pengsan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras berkongsi perasaanya sebaik sahaja mengetahui berita duka tersebut.
Artikel berkaitan: Pelajar Tingkatan 3 Tiba-Tiba Pengsan Dalam Kelas Disahkan Meninggal Dunia
Menurut Nora, anaknya seorang yang sihat dan tiada sejarah penyakit selama ini.
Dia tidak sakit apa-apa
Menurut wanita berusia 51 tahun itu, ketika kejadian anaknya bersama pelajar lain dikatakan sedang mendengar taklimat guru berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi mencegah penularan Covid-19 di dalam kelas.
Dia memang tiada sakit apa-apa. Dia seorang anak yang sihat dan tiada sejarah penyakit selama ini. Dia berjalan ke sekolah dengan beberapa rakan kerana kediaman kami terletak tidak jauh dari sekolah. Kira-kira jam 7.50 pagi (semalam), saya mendapat panggilan telefon daripada seorang gurunya yang menyatakan anak pengsan sebelum terus bergegas ke sekolah untuk melihat keadaannya.
Ujarnya lagi, kali terakhir dia bercakap dengan Amiruddin adalah sebelum anaknya itu keluar untuk ke sekolah kira-kira jam 7 pagi. Menerima panggilan daripada guru mengenai keadaan anaknya, Nora memberitahu dia segera ke sekolah. Tambahnya, anaknya itu disahkan meninggal dunia sejurus sampai di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan. Setakat ini, Nora dan keluarga masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital.
Suka senyum dan baik
Di Facebook Norziah Ahmad yang merupakan guru arwah memuat naik satu posting. Menurutnya, Amir merupakan pelajar yang baik dan suka senyum. Tambahnya, posting tersebut merupakan tanda ingatan buatnya terhadap arwah. Mengulas sedikit mengenai kejadian yang berlaku, Norziah memberitahu dia merupakan guru yang bertugas pada minggu ini dan semasa kejadian arwah sudah terbaring manakala, wajahnya sudah pucat lesi.
Di ruangan komen pula, guru-guru yang pernah mengajar arwah turut memuji kelakuan arwah ketika berada di sekolah.
Sumber: Harian Metro & Norziah Ahmad