berita

Anak OKU Bergadai Nyawa Jadi Hero Selamatkan Ibu Dibelit Ular Sawa 50kg

November 7th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak semestinya akan membataskan mereka daripada bertindak seperti seorang manusia normal. Kadang-kala keistimewaan sifat dan perilaku yang ada pada golongan OKU ini mampu membuka mata masyarakat yang seterusnya akan mengingatkan kita supaya lebih menghargai mereka.

Kisah seorang remaja OKU di Baling, Kedah ini mungkin boleh dijadikan inspirasi apabila dia sanggup mempertaruhkan nyawanya semata-mata untuk menyelamatkan ibunya yang sedang dalam keadaan ‘mengerikan’.

Ketepikan keselamatan diri

Menerusi laporan Astro Awani, Muhammad Rasul Abdullah yang merupakan OKU masalah pembelajaran telah menjadi hero apabila dia menyelamatkan ibunya yang sedang dibelit ular sawa batik seberat 50 kilogram di rumah mereka.

Menceritakan tentang saat yang sangat menggetirkan itu, Rasul berkata dia telah memotong bahagian tengah ular sawa tersebut dengan bantuan adik dan sepupunya yang masing-masingnya baru berusia 15 tahun.

Walaupun saya seorang OKU dan memiliki kudrat yang agak terhad, saya sanggup mengenepikan soal keselamatan diri demi menyelamatkan ibu yang dibelit ular sawa batik.

Sedang bermain

Ceritanya, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11 malam dan pada ketika itu mereka bertiga sedang bermain di luar kawasan rumah sebelum terdengar jeritan dari ibunya.

Katanya, sejurus mendengar jeritan itu mereka kemudian bergegas ke dapur di mana tempat ibunya berada dan melihat seekor ular sawa sedang membelit ibunya hingga ke paras dada. Tanpa berfikir panjang, dia bersama sepupu cuba melepaskan belitan ular sepanjang 6 meter itu di bahagian ekor sementara adiknya pergi mendapatkan bantuan daripada jiran.

Kami fikir (ketika itu) hanya nak bagi mak lepas daripada (dibelit) ular itu sebab mak memang tidak boleh buat apa-apa waktu itu.

Tetak ular

Tambah Rasul, mereka bertiga terpaksa bergelut selama hampir setengah jam sebelum dia bertindak menetak bahagian tengah ular tersebut sehingga hampir putus dengan bantuan penduduk kampung.

Syukur, ular itu kemudiannya mati dan ibunya pula tidak mengalami kecederaan serius.

Susulan keberaniannya pada kejadian yang berlaku lima bulan lalu itu, Rasul  telah dianugerahkan dengan pingat Hang Tuah  sempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah pada Selasa lalu.

Sumber: Astro Awani, Berita Harian

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×