berita

Anak Rimau The Movie Dekat Dengan Beto Kusyairy – ‘Saya Bukan Pemain Tetapi Minat Dengan Sukan Bola Sepak’

September 9th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Bakat lakonan pelakon Beto Kusyairy tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun. itu bukan tiket untuk Beto menjadi semakin ‘demand’ dengan meletakkan harga lebih tinggi dari segi bayaran.

Artikel Berkaitan: Bintang Bola Sepak Jadi Teraju Utama, Anak Rimau The Movie Telan Belanja RM5.5 Juta

Artikel Berkaitan: Beto Kusyairy Tidak Hadir Ke Jakarta, Harap Kemelut Dapat Dijernihkan

Bekerja bukan untuk diri sendiri

Menurut Beto, dia masih sama seperti dulu apabila masih meletakkan harga munasabah untuk sesebuah naskhah yang diamanahkan.

Kata Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, dia sentiasa memberikan hasil yang terbaik ketika berkarya.

Saya masih Beto yang dulu, harga ditetapkan juga setimpal dengan kerja lakonan dan pengalaman dalam bidang seni.

Saya bekerja bukan untuk diri sendiri, tetapi demi naskhah diamanahkan. Jika bekerja untuk karya, saya akan memberikan yang terbaik.

Keikhlasan perlu ada dan itu antara sebab saya masih bertahan sehingga hari ini.

Minat bola sepak

Bercerita tentang Anak Rimau The Movie yang sudah mula ditayang sejak 1 September lalu, aktor berumur 42 tahun ini menerima tawaran berlakon kerana tertarik dengan skripnya.

Saya melakonkan watak jurulatih sukan bola sepak bernama Coach Zainal. Saya bukan pemain bola sepak, tetapi memang minat sukan bola sepak dan ada pasukan yang diminati.

Saya juga bukanlah kaki bangku kerana bermain bola sepak untuk mengeluarkan peluh. Sebenarnya, saya hampir mewakili pertandingan Silat Olahraga peringkat remaja Selangor pada zaman sekolah dulu.

Justeru, memang tidak asing komitmen tinggi dan disiplin sebagai ahli sukan, sekali gus saya praktikkan dalam filem ini.

Kerja jadi mudah

Ditanya cabaran bekerja dengan bersama barisan pelakon baru yang juga pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Beto menyatakan mudah untuk mencari keserasian.

Mereka mendapat bimbingan dan bengkel lakonan dari guru lakonan terkenal, Fatimah Abu Bakar.

Selain guru lakonan, kami juga dibantu jurulatih bola sepak dari AMD, Osmera Omaro yang juga penasihat dalam filem.

Justeru, saya tiada masalah untuk mendapat keserasian dengan barisan pelakon muda dari AMD kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan dari segi dialog, penghayatan watak, lakonan dan sebagainya di lokasi penggambaran.

Selain Beto, filem menelan belanja RM5.5 juta turut mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy.

Turut membintangi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Ia turut menampilkan barisan pelakon pembantu Iaitu Mustakim Bahadon, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal dan ramai lagi.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Anak Rimau The Movie ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

SKIP THIS AD ×