Beberapa hari yang lalu, kecoh mengenai berita mengenai seorang bapa yang berang apabila anaknya yang berusia tujuh tahun didakwa dikurung oleh seorang guru di dalam jeriji besi.
Namun begitu, ibu bapa kepada pelajar berkenaan difahamkan telah tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.
Artikel Berkaitan: Murid Darjah 1 Didakwa Dikurung Guru Dalam Jeriji Besi Bersama Kotak Elektrik, Menteri Jalankan Siasatan
Rupanya anak bergurau
Memetik laporan Harian Metro, tindakan sekolah yang mendenda anaknya itu adalah kerana gurauan anaknya yang melondehkan seluar salah seorang rakannya di sekolah.
Lelaki yang tidak mahu didedahkan namanya itu memaklumkan bahawa permohonan maaf telah dibuatnya kepada ibu bapa murid berkenaan.
Saya juga sudah mohon maaf kepada ibu bapa murid itu terhadap tindakan anak saya. Mereka enggan memanjangkan isu itu berikutan anak kami memang berkawan baik di luar sekolah. Malah anak saya memang kuat bergurau.
Semua pihak sudah saling bermaaf-maafan ketika perjumpaan semalam (kelmarin). Saya dan isteri tidak simpan dalam hati, bagaimanapun saya sudah serahkan segalanya kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk siasat.
Buka itu sahaja, lelaki tersebut juga difahamkan tampil memberikan penjelasan yang sebenar di Facebook mengatakan perbincangan dibuat antara pihaknya, sekolah, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada 10.30 pagi di sekolah itu kelmarin.
Saya dimaklumkan guru kelas, anak saya bergurau dengan menarik seluar kawannya. Bukan anak saya seorang yang melakukannya. Malah ia turut membabitkan tiga atau empat murid lain.
Anak saya tidak mahu hadir ke sekolah akibat trauma dimasukkan ke dalam ‘penjara’ itu
Bagaimanapun, cukup setakat ini saja, saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini.
Semua anak-anak ada di media sosial, mereka membaca dan sedih. Sekarang saya nak perbaiki dulu mental dan emosi anak-anak saya. Lagipun kami sudah bermaafan dan anggap perkara ini sudah selesai.
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai kisah seorang pelajar tahun satu di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan yang didakwa dikurung di dalam jeriji besi akibat didenda oleh guru.
Kejadian itu menjadi tular dan mendapat respon pelbagai dari wargamaya yang sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan gurunya itu.
Hasil siasatan PPD mendapati bahawa kanak-kanak terbabit dihukum gurunya selepas dia difahamkan melakukan kesalahan dengan cara mengganggu rakannya dengan suka melondehkan seluar walaupun sudah diberikan peringatan.
Sumber: Harian Metro