berita

Anggota Dituduh Hanya ‘Tengok’ Orang Bergaduh, Ketua Polis Brickfields Jelas Situasi Sebenar

March 15th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Seorang lelaki maut dan rakannya parah apabila dipercayai terlibat dalam sebuah pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, tempoh hari. Sebuah rakaman memaparkan pergaduhan tersebut telah tersebar di media sosial dan menampakkan seorang anggota polis yang didakwa hanya ‘menonton’ dan tidak menghalang pergaduhan itu.

Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Brickfields iaitu Asisten Komisioner Anuar Omar memaklumkan anggota polis berkenaan hanya keluar makan berdekatan lokasi kejadian dan tidak membawa senjata api ketika itu.

Ditikam dengan pisau

Difahamkan, mangsa maut berusia 28 tahun dan rakannya yang parah berumur 30 tahun minum minuman keras sebelum berjalan ke tempat letak kenderaan. Kemudian, mereka berjumpa dengan sekumpulan lelaki dan berlaku pergaduhan dipercayai kerana dendam lama.

Lelaki yang maut itu ditoreh badan dan ditikam masing-masing menggunakan pisau dan botol arak oleh suspek. Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah dan terjatuh di hadapan kedai serbaneka 24 jam. Rakannya yang parah muka pula masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Keluar makan berhampiran lokasi

Susulan daripada sebuah video rakaman yang memaparkan kelibat seorang anggota polis didakwa hanya ‘menonton’ dan tidak menghalang pergaduhan itu. Jelas Asisten Komisioner Anuar Omar, anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) itu tidak bekerja dan berada dalam pelepasan tugas pada hari berkenaan. Dia juga tidak membawa senjata api bersama.

Pegawai polis terbabit menetap di Subang Jaya dan keluar makan malam bersama seorang rakannya berhampiran lokasi pergaduhan. Ketika pergaduhan berlaku, beliau dan rakannya dalam perjalanan mengambil kenderaan berhampiran kawasan terbabit.

Beliau ada dalam rakaman video pergaduhan yang tular itu dan rakaman dibuat rakannya yang juga seorang editor filem komersial. Ketika mahu melaporkan kejadian pergaduhan itu kepada pihak Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) polis, kenderaan polis sudah tiba ke lokasi kejadian lalu beliau terus pulang ke rumah.

Sumber: BH Online

SKIP THIS AD ×