Semalam telah berlangsungnya majlis pelancaran untuk video klip terbaru Anuar Zain berjudul ‘Ajari Aku’ bertempat di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Secara umumnya video klip ini merupakan hasil kreatif pengarah yang tidak asing lagi di dalam industri klip video tempatan iaitu Ghaz Abu Bakar. Ghaz sebelum ini pernah menghasilkan video klip Anuar Zain berjudul ‘Sesucinya Cintamu.’
Menerusi video klip terbaru ini, Anuar Zain telah menampilkan dua pelakon hebat tanahair iaitu Nora Danish dan Dato’ Rahim Razali sebagai watak khas di dalam video tersebut.
Menurut Anuar, dia sendiri yang memilih kedua-dua individu tersebut untuk beraksi di dalam video klip ‘Ajari Aku,’ kerana menganggap kedua-duanya adalah pelakon yang hebat dan mampu membawa watak yang diinginkan.
“Saya memilih Dato’ Rahim Razali kerana beliau mempunyai nilai yang sangat tinggi dan dengan adanya penampilan beliau di dalam video ini, ia merupakan satu anugerah yang amat besar bagi diri saya. Saya turut merasa bertuah dapat bekerjasama dengan beliau.”
“Manakala untuk Nora Danish pula, saya dapat rasakan dia adalah pilihan yang tepat untuk memegang watak sebagai ‘isteri.’ Tambahan pula, dia memiliki ciri-ciri wanita idaman saya dan dia mampu menjiwai wataknya dengan begitu bagus.”
“Kedua-dua individu ini mampu menaikkan lagi semangat saya dan menggahkan lagi video klip ini,” ujar Anuar Zain sambil tersenyum manis.
Memandangkan Anuar Zain mengaku yang Nora Danish memiliki ciri-ciri wanita idamanya, jadi timbul juga usikan daripada pihak media, tidakkah Anuar ingin meneruskan hubungannya dengan Nora hingga ke peringkat yang lebih serius?
Dengan tergelak Anuar menjawab, “Saya memang suka tengok dia berlakon dari cerita ‘Puteri‘ lagi. Bagi saya dia seorang pelakon yang hebat dan bersikap profesional. Rupa parasnya yang manis, manja dan ‘pure look’ membuatkan saya suka dengan dia.
“Namun begitu, semuanya sekadar urusan kerja. Sekiranya untuk ke arah urusan peribadi rasanya mungkin tidak. Lagipun sepanjang berada di set penggambaran video klip tersebut kami tiada masa untuk berborak panjang kerana masing-masing terikat dengan ‘scene’ masing-masing,” komen Anuar mengenai Nora Danish.
Merujuk perkembangan terbaru, Anuar Zain dikatakan bakal mengadakan konsert solo mega pertama sempena pembabitannya selama 30 tahun dalam industri seni suara. Konsert ini bakal diadakan pada 16 Februari 2013 bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mengulas lebih lanjut mengenai konsert tersebut, Anuar difahamkan bakal menggunakan khidmat pengarah muzik tersohor tanahair, Mac Chew dan diiringi dengan 26 ahli okestra pada malam konsert tersebut. Tiket konsert bakal dijual pada 12 Disember ini dan peminat boleh dapatkannya menerusi laman website ‘Ticket Charge.’
Bagi peminat Anuar Zain, di sini pihak OHBULAN! lampirkan video klip terbaru ‘Ajari Aku’ sebagai pengubat rindu kalian terhadap penyanyi kacak ini. Enjoice!