berita

Anwar Ibrahim Tersentuh Tonton Filem ‘Anwar’ – ‘Dialog Tidak 100% Tepat, Tetapi Isu Dibangkitkan…’

May 10th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui tersentuh hati menonton filem Anwar: The Untold Story iaitu sebuah naskhah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air.

Artikel Berkaitan: ‘Filem Anwar: Untold Story Ketika Itu Tak Mendapat Restu’ – Farid Kamil Dedah Terpaksa Rahsiakan Penggambaran

Artikel Berkaitan: ‘Hormat Sebagai Pemimpin, Saya Beradab Bukan Biadab’ – Ifa Raziah Ulas Video Salam Tangan PM Ketika Berwuduk

Anwar tersentuh

Jelas Anwar, meskipun beberapa dialog yang digunakan tidak seratus peratus tepat, namun beliau tetap memuji hasil keseluruhan filem berkenaan.

Saya menonton filem ini untuk kali pertama, saya berikan hak dan kebebasan kepada pengarah dan penerbit untuk menjadi kreatif. Saya anggap ini sebahagian daripada hasil seni. Ruang untuk kreativiti kepada pengarah perlu ada. Prinsip seni harus bebas.

Sebagai orang yang diceritakan dalam filem ini, saya dan isteri tentunya tersentuh menonton. Dialog pun tidak seratus peratus betul tetapi isu-isu yang dibangkitkan adalah benar, semuanya hebat.

Saya manusia biasa, sudah pasti ada perasaan sedih dan sebak. Bagaimanapun sama seperti dialog Azizah dalam filem ini, kesedihan tidak seharusnya dipamerkan kepada rakyat.

Anwar berkata demikian pada sidang media khas sejurus majlis malam gala tayangan filem berkenaan yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion baru-baru ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu turut berkongsi pengalaman sebenarnya sewaktu dipenjarakan sekitar tahun 1998 dulu.

Peristiwa yang berlaku puluhan tahun kemudian disingkatkan dalam beberapa jam tentunya tidak mudah untuk sutradara. Jika dirangkumkan, maka tidak boleh la seratus peratus sama.

Sepanjang saya dipenjara dulu, hanya sekali saya menangis kerana ibu saya meninggal. Itu adalah perasaan yang saya tidak boleh kawal. Selainnya, senyum dalam tangisan.

Turut hadir pada malam gala iaitu isteri kepada Anwar, Datuk Seri Wan Dr. Azizah dan barisan pelakon antaranya Farid Kamil dan ramai lagi. Turut menyerikan acara dengan kehadiran penyanyi runut lagu filem tersebut iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Anwar The Untold Story

Anwar: The Untold Story merupakan naskah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan sekitar tahun 1998.

Runut bunyi untuk filem Anwar: The Untold Story berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara ini dinyanyikan oleh penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad), pelakon Indonesia, Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

SKIP THIS AD ×