Penyanyi dan pengarah Datuk Awie menyifatkan isu bayaran rendah yang diberikan pihak produksi kepada artis veteran adalah tidak setimpal dan satu penghinaan kepada mereka.
Artikel Berkaitan: Awie Duduk Di Kerusi Pengarah, Pertaruhkan Filem Rebel Dibintangi Ben Amir & MK K-Clique
Artikel Berkaitan: Awie Nampak Bakat & Kebolehan Ben Amir, MK K-Clique
Perlu ada rasa hormat
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata, kadar ditawarkan mestilah setara dengan pengalaman mereka sebagai artis berpengalaman.
Kita perlu ada sedikit rasa hormat kepada artis yang lebih senior. Jadi, berilah jumlah selayaknya kerana merekalah artis yang mana ibu dan bapa kita pernah minat suatu ketika dahulu.
Saya sedih dengan perbuatan itu. Bagi saya itu sangat biadab dan satu penghinaan kepada mereka. Apalah salahnya kita hormat orang lebih dewasa. Bayarlah lebih, tak apa, kita anggap itu sedekah atau amal ibadah.
Tambah Awie, dia mencadangkan agar ukuran kadar bayaran dikenakan selari dengan portfolio seseorang artis.
Kita tengok juga, artis itu veteran yang bagaimana. Jika dia pernah popular pada zamannya dan menjadi watak utama, tentu sahaja dia ada nilai dan harga yang tertentu.
Namun, jika selama ini hanya jadi watak pembantu sahaja, sudah tentu jumlahnya turut berbeza.
Awie yang ditemui pada Majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media Filem Rebel, baru-baru ini turut berpegang pada prinsip tiada lama tiada yang baharu.
Vokalis kumpulan Wings ini turut berharap penggiat seni tunduk ke bumi dan mengenang kembali perjuangan artis senior suatu ketika dahulu.
Orang lama sudah tebas semua lalang, agar kita orang baru boleh lalu. Ketika itu mereka hidup di zaman analog, tiada kamera canggih dan sangat sukar.
Mereka bukan mahu naikkan nama mereka sahaja, tetapi juga nama industri. Contohnya seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menang pelbagai anugerah sehingga di Jepun. Maka, jangan semudah itu kita lupakan mereka.
Sebelum ini, viral sebuah klip video temu ramah pelakon dan pelawak veteran, Azlee yang kecewa menerima tawaran lakonan dengan bayaran RM500 sehari.
Video tersebut meledak sekali gus menjadi topik netizen sehingga ada yang menganggap artis veteran tidak wajar membuat permintaan bayaran yang tinggi.