Pelakon senior, Arash Mohamad menitipkan pesanan buat rakan artis yang lain untuk tidak terpedaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan secara atas talian.
Artikel Berkaitan: Arash Mohd Tegur Pelakon Baru Sekarang Hanya Kemaruk ‘Kumpul’ Followers IG
Melabur di saluran betul
Ketika ditemui OhBulan!, Arash atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee berkata, golongan selebriti mahupun pempengaruh perlu selidik dan meneliti terlebih dahulu supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Nasihat saya tidak kiralah pada golongan selebriti ke pempengaruh ke tolong berhati-hati dan berhentilah terpedaya dengan skim pelaburan atas talian ini.
Zaman sekarang, teknologi pun semakin maju. Jadi, kesempatan yang diambil juga jadi semakin meluas dan mudah.
Kalau betul nak buat pelaburan, buat di saluran yang betul iaitu di bank contohnya. Itu adalah pilihan yang paling selamat.
Saya tahu ramai yang dah terpedaya tapi tak berani nak buat laporan polis sebab malu. Kalau mereka buat laporan polis sudah tentu mereka akan dihentam semula kerana melakukan pelaburan tersebut.
Arash berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana filem ‘Dalang’ yang diadakan di MBO Cinema, Atria Shopping Gallery, Damansara Jaya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 54 tahun menyatakan sebagai seorang yang sudah makin berumur, dia lebih selesa untuk berurusan membabitkan tawaran berlakon dan sebagainya melalui panggilan telefon berbanding media sosial.
Kadang-kadang, ada sahaja yang menghubungi saya menerusi DM di Instagram atau pun Facebook untuk menawarkan sebarang tawaran seperti produk review dan sebagainya.
Jika betul berminat, kebiasaannya saya akan minta nombor telefon mereka atau saya sendiri akan berikan nombor telefon saya supaya mereka dapat hubungi.
Saya tak suka DM di media sosial kerana pada saya urusan itu akan nampak seperti tidak rasmi. Sekurang-kurangnya, kalau saya dihubungi menerusi panggilan telefon, saya boleh simpan nombor itu.
Kalau sekadar di Facebook atau Instagram, sekarang dah terlalu banyak akaun palsu yang menjalankan penipuan.
Saya pula orang tua dan tak reti sangat nak berurusan di media sosial. Jadi, hubungi saya melalui telefon dan kita bincang. Kalau setuju, kita boleh teruskan.
Sekadar info, Arash kini membintangi filem ‘Dalang’ arahan pengarah meningkat naik iaitu Nik Amir Mustapha yang mula ditayangkan bermula 20 Disember 2023 di paltform Tonton.
Selain Arash, filem ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Luqman Hafidz, Aziz M Osman, Liyana Jasmay, Wan Raja dan ramai lagi.