berita

‘Hubungan Saya & Bekas Isteri Baik Sahaja Demi Anak Kami’ – Luqman Hafidz

December 21st, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pelakon, Luqman Hafidz mendedahkan dia dan bekas isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi dalam keadaan yang sangat baik meskipun sudah berpisah pada Jun 2022 lalu.

Artikel Berkaitan: Bekas Isteri Luqman Hafidz ‘Tepek’ Muka Penyondol Di Instagram

Demi anak

Ketika ditemui OhBulan!, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi berkata, dia berharap hubungan baik antaranya dan bekas isteri berterusan demi kebajikan anak mereka, Eve Laura.

Hubungan saya dan juga bekas isteri dalam keadaan baik, Alhamdulillah kami tiada sebarang masalah.

Saya harap perkara ini berterusan, tiada isu antara kami dan sebagainya demi menjaga kebajikan anak kami, Eve Laura.

Ketika ditanya mengenai penerimaan anak terhadap perpisahannya dan bekas isteri, pelakon berusia 32 tahun itu memaklumkan bahawa Laura mungkin memerlukan sedikit masa untuk memahami keadaan yang berlaku memandangkan anaknya itu baru sahaja berusia tiga tahun.

Dia masih berusia tiga tahun dan mungkin dia belum faham apa yang terjadi antara saya dan bekas isteri.

Tapi dia faham bila perlu berjumpa saya pada sekian waktu, perlu berjumpa dengan ibu dia pada sekian waktu. Setakat ini tiada persoalan yang timbul dalam diri anak saya.

Benda-benda sebegini memerlukan masa bagi anak saya memahami segalanya.

Luqman berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana filem ‘Dalang’ yang diadakan di MBO Cinema, Atria Shopping Gallery, Damansara Jaya.

Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan filem ‘Ola Bola’ tersebut mendedahkan bahawa kehidupan sebagai seorang bapa tunggal menjadikan dirinya lebih kuat untuk bekerja demi memberikan yang terbaik buat anaknya.

Ia mengajar saya lebih kuat sebab kita dah mula tahu ada insan yang berharap pada kita. Jadi, kalau kita ‘down’, jatuh dan nak mengadu mengenai masalah kehidupan apa pula perasaan anak saya nanti.

Bila mana saya bekerja, saya niatkan rezeki dan habuan saya itu untuk anak saya dan pada saya itu yang memudahkan urusan kerjaya seni saya.

Saya percaya pada rezeki, kalau Allah kata tak jadi maka tak jadilah tapi kalau Allah kata ada rezeki saya, adalah.

Saya dah berlapang dada dan berharap peluang untuk saya berlakon itu sentiasa ada untuk kelangsungan hidup saya dan anak.

Sekadar info, Luqman dan Atiqah pernah mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2020 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Eve Laura, 3.

Sehinggalah pada Disember 2022, Luqman mendedahkan bahawa dia dan Atiqah sudah pun bercerai pada Jun 2022 yang lalu.

SKIP THIS AD ×