Pengarah filem Pungut, Areel Abu Bakar menjelaskan sebab utama pelakon Aman Graseka tidak hadir ke acara tayangan perdana bagi filem tersebut adalah kerana sibuk menguruskan perniagaan pencuci mulut ‘Jellyball’ di Sungai Petani, Kedah.
Artikel Berkaitan: Dah Lama Tak Ada ‘Job’, Aman Graseka Mohon Bantuan – ‘Semoga Ada Rezeki Anak-Anak Hamba Nak Buat Makan’
Faktor jarak
Ketika ditemui OhBulan!, Areel berkata pihaknya juga ada menghubungi Aman untuk memintanya hadir ke acara tayangan perdana tetapi pelakon tersebut tidak dapat hadir kerana faktor jarak yang jauh.
Kami sudah maklumkan mengenai majlis tayangan, namun dia ada beritahu tidak dapat hadir kerana sukar bergerak kerana perjalanan agak jauh.
Produksi juga sudah telefon banyak kali, dia maklumkan dia sibuk.
Areel berkongsi perkara tersebut ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Aman pada majlis tayangan perdana dan sidang media bagi filem tersebut yang diadakan di GSC Mid Valley, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan Aman, pengarah berusia 38 tahun itu memaklumkan bahawa Aman merupakan seorang pelakon yang sangat bagus kerana sering menunjukkan budaya kerja yang baik sepanjang mereka bekerjasama.
Saya sudah bekerja dengannya dua kali dalam tempoh yang sama. Dia okay, tiada masalah.
Terdahulu, timbulnya satu dakwaan mengatakan Aman yang tiada sumber pendapatan terpaksa meminjam wang daripada beberapa rakan artis yang lain.
Aman walau bagaimanapun menepis dakwaan itu dengan mengatakan bahawa dia sama sekali tidak pernah menagih wang daripada sesiapa.
Sekadar info, Aman merupakan salah seorang pelakon utama bagi filem ‘Pungut’ dan memegang watak sebagai ‘Din Cengkoi’.
Selain Aman, filem ‘Pungut’ yang akan bermula ditayangkan pada 29 Ogos ini turut dibintangi Fad Anuar, Megat Sharizal dan ramai lagi.