Petang semalam telah berlangsungnya sidang media untuk minggu setiausaha ‘Memori Indah Bersama Dato’ Siti Nurhaliza’ bertempat di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur.
Sewaktu majlis berlangsung, Dato’ Siti kelihatan sungguh anggun dan ayu tatkala tampil dengan tudung bewarna hitam dan dipadankan dengan baju serta skirt labuh. Penampilan sopan Dato Siti ini sememangnya sudah diketahui umum dan peminat-peminat juga sudah sedia maklum bahawa penyanyi tersebut kini sudah memasang hajat untuk terus bertudung penuh.
Namun begitu, sejak berubah dengan imej baru, Dato’ Siti dikatakan sudah mula berbual mengenai isu politik dilaman sosial Twitternya dan hal ini telah membuat pihak media tertanya-tanya adakah penyanyi ini sudah mula berminat dengan bidang politik?
Lantas Siti menjawab, “Itu perkara normal. Artis juga orang biasa. Masing-masing ada hak dan pendapat untuk bersuara.
“Mengenai konsert Psy baru-baru ini saya rasa artis Malaysia sebenarnya boleh buat konsert yang lebih besar berbanding Psy. Saya cakap ini pun bagi wakil suara-suara artis Malaysia yang lain.
“Saya bukan nak fokus pada politik, tapi bagi badan-badan yang menaja kalau boleh tajalah artis kita seperti itu juga.
“Sebenarnya saya tidaklah menolak penyanyi-penyanyi luar untuk datang ke Malaysia,” ujar Dato’ Siti sambil tersenyum.
Dalam pada itu, penyanyi nombor satu negara ini turut berkongsi mengenai keadaan suami tercinta, di mana Datuk Khalid kini difahamkan sudah semakin beransur pulih seperti sedia kala setelah mengalami kemalangan di New Zealand pada Disember tahun lalu.
“Sekarang waktu saya betul-betul terhad sebab kena jaga suami. Insyallah bulan April nanti semuanya akan kembali seperti biasa.”
“Buat masa sekarang suami saya semakin hari semakin pulih dan sekarang ini dia sedang jalani rawatan fisioterapi di bahagian tangan. Sebab itu saya kena selalu berada dengan dia untuk suapkan dia makan dan siapkan diri dia apa yang patut.
“Orang sakit ni kita kena jaga macam baby. Tapi Alhamdulillah tak berapa teruk. Dia masih boleh jalan seperti biasa.
“Insyallah hujung bulan Mac suami saya akan pulih seperti biasa.”
Untuk makluman, pada bulan April ini Dato’ Siti bakal tampil dalam majlis ‘Memori Indah Bersama Dato’ Siti Nurhaliza’ sempena minggu setiausaha. Majlis tersebut akan diadakan pada 11 April ini di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur. Tiket-tiket akan dijual dengan harga serendah RM350 hingga RM5500.
Kredit Foto : Denish