berita

‘Artis Pun Manusia, Berhak Bersuara. Kenapa Perlu Kecam?’ – Emelda Rosemila

April 1st, 2020 | by Amat Larbsib
Isu & Kontroversi

Isu mengenai bantuan dari kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan artis dan netizen. Dipercayai bermula dengan segelintir artis yang didakwa menyuarakan pandangan mereka mengenai bantuan dan hak anak seni.

Tindakan sedemikian telah mengundang perdebatan netizen dan artis yang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan di laman media sosial. Pelakon Manjalara iaitu Emelda Rosemila turut lantang memberi pendapatnya demi mempertahankan anak seni.

Ini cara saya memberi pengajaran

Menerusi laman Instagram isteri kepada pelakon Adlin Aman Ramli itu memuatnaik status dan mendedahkan beberapa individu yang menikam lidah mengecam artis. Tindakan demikian membuatkan beberapa orang netizen tampil memohon maaf gara-gara mengutuk anak seni. Tambahnya, tindakan demikian tidak bermaksud untuk mengaibkan mana-mana pihak.

Emelda juga memuatnaik status menyifatkan tempoh PKP dipanjangkan hingga 14 April 2020 adalah sesuatu yang agak sukar buat golongan anak seni. Segala penggambaran dan kerja ditangguhkan bagi mematuhi perintah tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan sumber ekonomi mereka juga termasuk krew produksi.

Ini cara saya mahu memberikan pengajaran kepada netizen yang tak tahu menghormati individu lain. Kalau lihat cara tutur, saya jadi takut. Artis pun manusia. Apa hak mereka nak bercakap macam-macam. Saya nak luahkan isi hati saya dalam ruang sendiri, kenapa kamu boleh masuk dan cakap sesuka hati.

Di mana silapnya menyuarakan pendapat peribadi. Dengan penuh rendah hati dan diri untuk bertanyakan adakah mungkin golongan artis dan penggiat seni tidak terkecuali untuk mendapatkan insentif kerajaan dalam dunia dilanda musibah ini?

Penggiat seni juga rakyat Malaysia, berhak bersuara untuk diri sendiri. Kenapa perlu kecam? Kalau saya rasa perlu, saya ambil. Kalau tak perlu pastinya akan dahulukan yang memerlukan. Jangan cetek akal. Emosi menguasai diri hinggakan otak di hujung jari.

Netizen seperti dirasuk syaitan

Bagaimanapun, pelakon wanita ini turut menyifatkan tindakan segelintir netizen itu seperti dirasuk syaitan apabila ada artis bersuara mengenai nasib mereka dalam bidang seni.

Tayang aset, semua komen padu dan ‘merecik’, tetapi apabila bersuara mengenai nasib penggiat seni, cuba bela diri, netizen seperti dirasuk syaitan.

Adilkah begini? Jika kamu boleh hidup dengan makan nasi bersama ikan kering setiap hari, jangan salah dan cemburukan orang yang berusaha nak makan daging.

Mana akal kamu semua? Saya selalu anggap diri saya kerdil. Saya orang yang sangat merendah diri. Saya letakkan diri saya sama orang lain. Lebih atau kurangnya, saya tetap rasa kerdil. Tetapi, jangan kerana sikap rendah diri ini, kamu boleh buat sesuka hati.

Sumber: BH Online, Emelda Rosemila