Pelakon dan pelawak, Azlee Senario akui terkejut menerima berita pemergian sahabat baiknya, Hamdan Ramli pada tengah hari Jumaat.
Artikel Berkaitan: Hamdan Senario Meninggal Dunia
Artikel Berkaitan: Hamdan Senario Tunjuk Perkembangan Positif – ‘Dia Cuba Buka Mata & Gerakkan Bibir’
Pengsan tiba-tiba
Ketika dihubungi OhBulan!, Azlee berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sedang sakit, namun secara tiba-tiba pengsan ketika mereka dan ahli Senario yang lain sedang melakukan sesi raptai acara ‘Wonderful Night With Senariounion’, 30 Disember lalu.
Kehilangan seorang anggota senario yang baik, rasa macam tak percaya arwah sudah pergi menemui Ilahi. Tapi tetap kena reda dengan aturan Allah.
Pada 30 Disember lalu, saya, arwah, Saiful Apek, Wahid dan Pak Ya sempat bergurau, makan minum semua lah. Tiada langsung tanda-tanda menunjukkan dia sakit.
Kemudian pada 31 Disember, kami semua tengah raptai untuk sebuah acara showcase, dia tiba-tiba pengsan. Sebelum itu, dia kata tak sihat. Kemudian saya minta dia berehat.
Tambah Azlee, arwah kemudian dimasukkan ke wad sebuah hospital sebelum ditidurkan oleh doktor disebabkan masalah kesihatan yang dialami.
Petang 31 Disember dia pergi ke hospital untuk buat pemeriksaan, terus doktor kata dia ada masalah kesihatan. Lepas periksa doktor terus pindahkan dia ke wad ICU untuk ditidurkan.
Tetapi sebelum nak ditidurkan, arwah Hamdan cakap dengan doktor jangan tidurkan dia sebab malam itu showcase kami nak berlangsung. Rakan-rakan semua sudah tunggu.
Dalam pada itu, pelakon berusia 56 tahun itu menyifatkan pertemuan kali terakhir bersama arwah sebagai sebuah kenangan yang cukup bermakna.
Dia tak pernah cerita dengan kami yang dia ada sakit, malah warisnya juga tidak pernah beritahu. Tapi itulah, sudah takdir. Arwah tahu dia akan pergi meninggalkan Senario.
Nampak sangat wajah dia begitu gembira dapat lihat semua kawan-kawan pada hari terakhir sebelum ditidurkan.
Itulah kali terakhir saya dapat berborak, dapat makan dengan arwah.
Tengah hari tadi, industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Hamdan Ramli, 54, yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengahari.