Kematian sememangnya adalah perkara yang tak dapat dielakkan bagi setiap makhluk yang ada di muka bumi ini. Cara kematian bagi setiap manusia juga adalah berbeza-beza tanpa mengira tempat dan waktu. Namun, kisah perginya seorang lelaki ini mungkin mampu mengharukan mana-mana insan yang membacanya.
Menerusi laporan Harian Metro, lelaki berusia 48 tahun ini meninggal dunia selepas baru beberapa jam mengiringi perjalanan seorang sahabat baiknya.
Tersembam sebelah liang lahad
Menurut laporan portal itu, Amran Hasan pada awalnya rebah sebelum meninggal dunia ketika memegang tali keranda rakannya yang telah meninggal dunia.
Syamir Afuad Mohamad Aris, ahli unit khas van jenazah (UKVJ) yang ketika kejadian berada di situ berkata, arwah Amran kelihatan sangat sedih dan menangis ketika menguruskan jenazah rakan baiknya, Raja Azri.
Sekitar 4.30 petang, apabila kami tiba di kawasan tanah perkuburan, arwah (Amran) seperti keletihan dan lemah.
Dia kemudian jatuh tersembam betul-betul di sebelah liang lahad rakan baiknya.
Macam adik-beradik
Bercerita lebih lanjut, Syamir berkata dia dimaklumkan oleh keluarga Amran bahawa hubungan di antara dua insan itu sangat erat dan seperti adik-beradik sejak dari dahulu.
Pengasas UKVJ Mohd Hirwan Aiyub dalam pada itu berkata, bantuan pernafasan (CPR) sempat diberikan kepada Amran malah arwah juga didapati sedar untuk seketika selepas beberapa kali percubaan menyelamat.
Arwah sempat menyebut ‘ambulans’ sebelum pernafasannya semakin perlahan dan kakinya kejang. Ambulans tiba beberapa minit selepas itu dan arwah dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Apa yang lebih mengharukan, jenazah Amran juga kemudian dikebumikan di sebelah kubur sahabatnya itu pada hari yang sama.
Sumber: Harian Metro, Facebook Wan Cai Official