Penyanyi yang popular menerusi lagu Tak Cuba Untuk Kembali, Asfan Shah, kini telah muncul dengan single serta video klip terbarunya berjudul, Alasan Untuk Bahagia.
Pada dasarnya, permulaan video klip berdurasi 4.20 ini menceritakan tentang kisah putus cinta yang dialami oleh sepasang kekasih.
Jika di zaman serba canggih ini lazimnya orang lebih selesa memutuskan perhubungan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), kerana ianya dilihat lebih mudah dan pantas, akan tetapi tidak menerusi video klip ini.
Melalui video klip Alasan Untuk Bahagia, dilihat sang kekasih lebih selesa memilih surat sebagai medium perantaraan untuk memutuskan hubungan cinta mereka.
Cara tersebut nampaknya sangat efektif dan lebih mendatangkan kesan yang mendalam, sehingga menyebabkan teman wanitanya tidak keruan selepas membaca surat tersebut.
Ingin tahu bagaimana kesudahan kisah cinta mereka? Ayuh saksikan video klip yang telah mendapat sentuhan kreatif daripada Seventeen Eleven Music selepas ini.
Untuk makluman, lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Asfan dan ia dirakamkan oleh syarikat rakaman terkenal, NAR Studio.
Dalam pada itu, single terbaru ini juga merupakan hasil kerjasama antara penyanyi tersebut dengan beberapa pemuzik terkenal seperti Ujang, Kelly, Gjie serta Sumatera.